DUA wanita Mongolia yang didakwa dirogol seorang pegawai polis, dan tiga rakan mereka membuat laporan polis perlu dibebaskan dari tahanan dan diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA), kata wakil rakyat Pakatan Harapan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei bersetuju dengan gesaan peguam berkenaan lima wanita berkenaan yang kini ditahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Penggunaan ATIPSOM akan mengalihkan fokus kepada kesalahan utama iaitu kesalahan merogol,” kata Maria dan Lim dalam satu kenyataan hari ini.
“Sebalikya, WPA akan menghalang lima wanita ini dikecualikan daripada sebarang bentuk tahanan dan siasatan tidak perlu mengenai status imigresen mereka.
“Kami menggesa IPO (Perintah Perlindungan Sementara) dibawah ATIPSOM diketepikan, dan lima wanita itu perlu dibebaskan. Tumpuan sepatutnya terhadap siasatan rogol dan mendakwa si pelaku dengan segera.”
Dua wanita Mongolia mendakwa mereka dirogol oleh seorang pegawai polis berpangkat inspektor di sebuah hotel pada 10 April selepas mereka ditahan dalam satu sekatan jalan raya. – 23 April, 2020.
Komen