POLIS menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mampu memperoleh kutipan RM135,000 sehari, dengan penahanan 25 individu warga China dalam serbuan di sebuah rumah di Ukay Heights, Ampang, di Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, SAC Mohd Zani Che Din berkata serbuan kira-kira 11.15 pagi tadi adalah berdasarkan maklumat risikan awam di premis berkenaan.
Beliau berkata pihaknya menahan 20 lelaki serta lima wanita warga China berusia 18 hingga 45 tahun berasal dari daerah Jianxi dan Guizhou.
“Kesemua mereka didapati menjalankan kegiatan mempromosi perjudian melalui aplikasi WeChat dan Text Messages kepada pelanggan di negara China selain menganjurkan permainan judi dan pertaruhan dalam talian,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zani berkata permainan yang ditawarkan termasuk ‘Lucky Draw Canada 28’ dan ‘Beijing 28’ berdasarkan angka ‘big’ dan ‘small’ dengan cara memperdayakan sasaran mangsa di China.
“Sindiket berkenaan memberi bayangan bahawa permainan ini senang dimain, selain berpeluang untuk menang tinggi menerusi penggunaan QR Code kepada pelanggan bagi mencuba nasib,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan, polis mendapati kegiatan itu telah beroperasi hampir tiga bulan dan premis itu hanya digunakan bagi tujuan transaksi perjudian dipercayai dari China sahaja dengan penggunaan mata wang Renminbi.
Mohd Zani berkata polis turut merampas satu unit komputer kawalan utama, 19 komputer riba, 74 telefon bimbit serta dua unit ‘router’ dalam serbuan berkenaan.
“Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya. – Bernama, 22 April, 2020.
Komen