Rohingya menguji kemanusiaan kita


MEMAHAMI isu Rohingya ini memang terpecah-pecah. Reaksi pelbagai, ada positif dan negatif.

Tulisan ringkas ini bukan berniat membetul perspektif semua, cuma sekadar berkongsi pengalaman sedia ada.

Isu ini tidak akan selesai secara tuntas tanpa solidariti semua pihak. Advokasi wajar diteruskan.

Keterlibatan kerajaan amat perlu sementara bantuan NGO-NGO begitu terhad.

Sepanjang 6 tahun terlibat dengan misi kemanusiaan ia benar mengajar tentang makna ithar, syukur, lapang dada.

Semua berhak memberi komentar dan kritikan, tetapi kebenaran dan keadilan hanyalah pada Allah Yang Maha Esa. Allah Yang Maha Menilai. Yang berbuat baik tetap dibalas baik, begitulah sebaliknya.

Isu Rohingya ini bukan terbatas masa Covid-19. Memang pengusiran, pembantaian penghapusan genosid berlaku secara berterusan sehinggalah ke saat ini.

Mereka terhalang daripada kekal di tanah air sendiri, tiada akses masuk ke sempadan Bangladesh, Thailand, Malaysia dan Indonesia secara mudah.

Sekadar menumpang ihsan dan prihatin mereka yang simpati demi meneruskan kelangsungan hidup, mencari sesuap nasi, tempat berteduh dan berlindung.

Tidak ternafi ada yang bermasalah namun usahlah disebabkan segelintir yang melakukan onar maka dihukum semuanya.

Sikap buruk, perangai hodoh tidak mengenal etnik dan bangsa. Cuma yang lebih utama, Islam mengajar kita tentang kebaikan dan kebajikan.

Bimbang Allah menarik hidayah nurani kita semua sehingga hilang belas kasih dan tiada simpati kepada yang perlu. Pilihan tetap ada – hidup berkongsi suka duka atau berpanjangan dalam prejudis, larut dalam sentimen. 

Yang terjadi hari ini bukan sesuatu yang baru. Pernah ribuan Rohingya mati di darat, di sungai dan di laut kerana tiada siapa yang sudi menerima.

Majoriti wanita menjadi janda akibat suami dibunuh kejam, perempuan yang tidak berdosa diperkosa, anak-anak menjadi yatim tidak terbela dan orang tua kehilangan anak tempat bergantung.

Kebahagiaan mereka dirampas, maruah diri dinodai tanpa belas ihsan.

Ketika berdepan krisis, ada yang terpaksa berjalan ratusan kilometer, belayar tanpa haluan, minum air laut sehingga dehidrasi dan menadah air kencing sendiri sebagai bekalan sepanjang jalan mencari perlindungan.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Mereka ibarat Muhajirin, datang berhijrah meninggalkan Arakan kerana ingin hidup aman tanpa fitnah.

Mereka adalah mangsa kekejaman tentera Myanmar dan kerakusan ekstrimis agama. Rumah dibakar, kampung dimusnahkan, madrasah dan masjid diruntuhkan.

Apa yang terjadi sangat menginsafkan. Tidak tahu bila semua ini akan berakhir, cuma yang pasti kita perlu bermula untuk terus membantu.

Sungguh kita sedang diuji dengan diri sendiri. Berhentilah menuding jari dan mencari silap.

Bencilah kezaliman dan kasihilah orang fakir dan yang miskin lagi sukar. Mudah-mudahan ia menjadi kunci Allah mengekalkan keamanan ini serta menjadi asbab utama bagi-Nya mengangkat wabak ini.

Kita ini hanya ada dua persamaan – sama ada ia saudara kamu dalam iman, atau setara kamu dalam kemanusiaan. 

Sekiranya kita tidak mampu membantu namun tetaplah berdoa agar Allah permudahkan segala urusan saudara se-Islam kita.

Teruslah berbuat kebaikan kerana ia barang dagangan yang tak akan pernah rugi. Allahu al-Musta’an.

* Azlan Zainal merupakan Pengarah Eksekutif Ilham Centre.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen