ROBERT Mugabe meletakkan jawatan sebagai presiden Zimbabwe, menamatkan 37 pemerintahannya yang mengheret negara itu ke kancah ekonomi yang parah, lapor media antarabangsa.
Mugabe, 93, letak jawatan tujuh hari selepas tentera campur tangan dalam krisis kepimpinan Zimbabwe dan menempatkan beliau sebagai tahanan rumah.
Speaker Parlimen menghentikan prosiding pertuduhan pemecatan presiden untuk mengumumkan Mugabe menyerahkan surat peletakan jawatannya, lapor Reuters.
Sidang khas Parlimen itu dipindahkan ke sebuah hotel di Harare bagi membolehkan ia disertai oleh wakil rakyat dari kedua-dua dewan rakyat dan senat.
“Saya Robert Mugabe selaras dengan seksyen 96 perlembagaan Zimbabwe dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan…berkuatkuasa serta merta,” tulis Mugabe dalam surat yang dibacakan speaker Mudenda.
Pertikaian berhubung jawatan presiden itu mula tercetus selepas Mugabe bertindak memecat naib presidennya Emmerson Mnangagwa.
Penyingkiran itu menyaksikan isteri Mugabe, Grace diletakkan di kedudukan untuk menggantikan suaminya yang berusia 93 tahun, menyebabkan campur tangan tentera untuk menghalang laluan kepada isteri Mugabe bagi jawatan presiden.
Susulan itu kabinet Zimbabwe terus mengenakan tekanan terhadap Mugabe sehingga memulakan prosiding pemecatan presiden oleh speaker parlimen. – 21 November, 2017.
Komen