Pendengaran kes di Mahkamah Rayuan secara dalam talian mulai esok


Bede Hong

Perbicaraan mahkamah secara maya dilanjutkan seiring dengan PKP, yang dilanjutkan sehingga 28 April, tetapi tiada perbicaraan jenayah akan didengar sepanjang tempoh ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

BUAT pertama kalinya Mahkamah Rayuan akan menjalankan pendengaran kes sivil melalui tayangan langsung (live streaming) esok.

Di bawah projek perintis ini, orang ramai juga boleh menyaksikan prosiding di laman web rasmi badan kehakiman.

“Ini bagi membolehkan orang awam untuk melihat secara langsung pendengaran kes yang dijalankan seperti di Mahkamah Terbuka,” kata Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan (walaupun dalam situasi perintah kawalan pergerakan).”

Badan kehakiman berkata projek perintis ini akan dimulakan dengan tiga kes terpilih esok.

Tayangan langsung itu adalah untuk memastikan perintah kawapan pergerakan (PKP) dipatuhi, untuk menghentikan penyebaran virus Covid-19 yang setakat kini menjangkiti 5,482 orang, dan membunuh 92.

Tiga kes tersebut ialah Zhao Fangliang lawan Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd; Jin Haifang v Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd; dan Zhu Cunhua v Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd, menurut laman web badan kehakiman.

Selain permohonan reman dan jaminan, kes mahkamah ditangguhkan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Perbicaraan mahkamah secara maya dilanjutkan seiring dengan PKP, yang dilanjutkan sehingga 28 April, tetapi tiada perbicaraan jenayah akan didengar sepanjang tempoh ini.

Perbicaraan jenayah tidak dapat diadakan secara dalam talian kerana Kanun Prosedur Jenayah yang menghendaki tertuduh berada di sana secara langsung. – 22 April, 2020.

Berita penuh di sini
.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen