Syarikat penghantaran mahu kerajaan bantu kos jalani ujian Covid-19


Khoo Gek San Noel Achariam

Syarikat penghantaran tidak mampu menanggung kos tambahan untuk ujian saringan Covid-19, memandangan perniagaan sudah terjejas dengan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

SYARIKAT perkhidmatan penghantaran yang menggunakan motosikal mahukan sekurang-kurangnya subsidi atau kadar tetap bagi pekerja mereka untuk menjalani saringan Covid-19.

Mereka masih tidak pasti dengan arahan kerajaan mengenai pelaksaan bagi penghantar makanan menjalani saringan kesihatan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight tidak mampu menanggung kos tambahan untuk ujian, memandangan perniagaan sudah terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini berikutan kenyataan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob minggu lalu yang syarikat e-hailing mesti memastikan penunggang dan pemandu mereka untuk menjalani pemeriksaan Covid-19.

Bagaimanapun, ujian saringan ini harus dilakukan di hospital swasta, dengan bayaran sekitar RM600 setiap orang.

Ujian Covid-19 di hospital awam adalah untuk mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti, kes SARI (penyakit pernafasan akut yang teruk), atau dianggap sebagai pesakit yang disiasat berkaitan virus tersebut.

Ketua Perhubungan Kerajaan FoodPanda Malaysia, Khairil Ahmad Kamil Ahmad berkata syarikatnya kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa.

“FoodPanda sedang menunggu kerajaan mengeluarkan prosedur operasi standard. Kami akan mematuhi peraturan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Jurucakap GrabFood juga berkata syarikat itu sedang dalam perbincangan mengenai bagaimana ujian harus dilakukan untuk penunggang dan siapa yang akan menanggung kos tersebut. GrabFood mempunyai 10,000 pekerja penghantaran.

GrabFood mempunyai 10,000 pekerja penghantaran dan pelaksanaan mewajibkan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 akan membebankan syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif RunningMan, Andrew Chee berkata syarikatnya mempunyai kira-kira 60 penunggang di Lembah Klang dan Melaka.

“Kami menyarankan kerajaan memberi harga tetap untuk saringan Covid-19 atau subsidi bayaran. Jika tidak, ia akan menjadi beban kepada kami.

“Paling tidak, kerajaan dapat menanggung sebahagian kos ujian. Dengan cara itu, syarikat tidak perlu membayar kos penuh.”

Chee berkata syarikat penghantaran sudah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan penunggang mengikuti garis panduan kesihatan. 

Mereka diambil pemeriksaan suhu badan setiap hari dan mengeluarkan peringatan mengenai kerap mencuci tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman, serta penghantaran tanpa sentuhan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, ketika ditanya mengenai pelaksanaan terbaru ini berkata kepada The Malaysian Insight beliau akan segera bertemu dengan wakil syarikat penghantaran.

Masalahnya ialah penunggang yang tidak dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kerana syarikat yang beroperasi semasa PKP harus memastikan pekerja menjalani ujian saringan Covid-19, dengan kos ditanggung oleh Perkeso.

“Beberapa penunggang mungkin tidak dilindungi oleh Perkeso, jadi saya ingin berbincang dengan syarikat terlebih dahulu dan mendapatkan bilangan penunggangnya,” katanya.

Wee menambah beliau mahukan butiran mengenai berapa banyak penunggang yang bekerja sepenuh masa, sebelum membuat SOP mengenai bayaran ujian Covid-19 untuk mereka. – 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen