Jangan keluar rumah, hadiah hari jadi saya, kata Dr Noor Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat Malaysia terus patuh arahan PKP sebagai membantu usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 april, 2020.

DR Noor Hisham Abdullah, yang menyambut hari jadi ke-57 hari ini, meminta rakyat Malaysia terus mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai hadiah untuknya membantu usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Hadiah paling istimewa untuk saya ialah, kalau boleh rakyat Malaysia kekal duduk di rumah dan amalkan kebersihan yang tinggi,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Noor Hisham menjadi tumpuan setiap hari apabila muncul memberikan laporan perkembangan harian pandemik Covid-19 di Malaysia.

Semalam, beliau melaporkan berita gembira kes jangkitan terbaharu yang terendah dalam sehari sejak 12 Mac iaitu sebanyak 36 kes dan tiada kematian.

Katanya, penurunan kes yang ketara dari hari ke hari sejak kebelakangan ini adalah hasil tindakan proaktif dan agresif mengesan kes, yang dijalankan dalam masa dua minggu lalu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bilangan kes baharu boleh meningkat dalam masa dua minggu akan datang melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara serta di kawasan yang terlibat di bawah PKP diperketatkan.

Beberapa hari lalu, Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan alpa patuh arahan PKP ketika ada berita baik dari hari ke hari usaha berkesan membendung Covid-19.

Sebuah stesen televisyen di China baru-baru ini menamakan Noor Hisham antara tiga doktor terbaik dunia dalam menangani Covid-19, bersama Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Noor Hisham, yang juga pakar bedah, mula memegang jawatan ketua pengarah kesihatan sejak 2013. – 21 April, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen