Kisah rindu, duka, bimbang pesakit Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa Zaim Ibrahim

Yazid Mohammad (kiri) berkata pengalaman dijangkiti Covid-19 membuatkan beliau lebih menghargai hidup dan peka kepada kebersihan. – Gambar The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

BAGI beberapa bekas pesakit Covid-19, pengalaman dijangkiti wabak pembawa maut itu dianggap satu ujian daripada Tuhan yang mengajar untuk menghargai insan di sekeliling.

Walaupun pulih, ada juga yang masih sukar untuk kembali kepada kehidupan lazim, apatah lagi apabila orang tersayang menjadi korban serangan virus itu.

Ada juga yang berdepan persepsi buruk masyarakat kerana dikaitkan dengan jemaah tabligh – kluster terbesar jangkitan Covid-19 di Malaysia – dan berasa sukar diterima kerana dijangkiti virus pembunuh.

Sebilangan yang sembuh daripada 3,295 orang yang selamat setakat ini juga menceritakan betapa mudahnya jangkitan itu berlaku.

Salah seorang daripadanya, Nurul Qalbie A Ghani yang berkata seluruh keluarganya dijangkiti daripada kluster tersebut sehingga menyebabkan ibunya Azizah Minah meninggal dunia.

Katanya, jangkitan itu dikesan berpunca daripada pendedahan bapanya kepada sekumpulan jemaah tabligh yang mengunjungi surau berhampiran rumah mereka di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu.

“Ibu, bapa, saya dan dua lagi adik positif wabak ini dan kami berempat dapat pulih daripada Covid-19 tetapi ibu saya yang mempunyai komplikasi pernafasan dan beberapa penyakit lain meninggal dunia.”

Nurul Qalbie yang kini mudah lelah selepas serangan virus itu berkata, ibunya meninggal dunia pada 14 April akibat kegagalan fungsi beberapa organ.

Pengalaman itu juga membuatkan beliau lebih kerap mencuci tangan dengan sabun sekurang-kurangnya setiap 30 minit, walaupun ketika berada di rumah, kata pesakit kes ke-1,858 itu.

“Saya juga sentiasa menjaga kesihatan dan banyak bersabar, pengalaman yang dipelajari akibat wabak ini,” katanya.

Antara tekanan yang diterima adalah berita mengenai bapanya disahkan positif Covid-19 tersebar ke seluruh kampung dengan amat cepat.

Nurul Qalbie A Ghani dari Kota Bharu, Kelantan bersama kedua orang tuanya dan adik disahkan positif Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

“Kami sekeluarga yang sedang menunggu giliran untuk ujian saringan juga sudah rasa tertekan. Orang kampung seolah-olah memandang hina dan jijik kepada kami sekeluarga.

“Malah selepas kami sekeluarga pulih, memang masih ada penduduk kampung yang takut untuk mendekati kami,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata keadaan kini sudahpun beransur baik dan sudah ada jiran tetangga yang bertanya khabar, katanya.

Seorang lagi pesakit daripada kluster sama, Mie, juga mendedahkan bahawa jangkitan itu amat mudah berlaku dan beliau sendiri terkejut kerana mendapati positif Covid-19 walau tiada sebarang gejala.

Katanya, beliau mendapat tahu perkara itu apabila membuat ujian di Pulau Pinang selepas menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

“Saya pulang bersama empat rakan dalam satu kereta. Kemudian pulang ke rumah dan dapat tahu ada kes Covid-19 di Brunei. Waktu itu memang rasa bimbang dan saya terus buat pemeriksaan di klinik swasta.

“Tetapi doktor beritahu saya selesema biasa sahaja. Saya tak puas hati dan pergi ke Hospital Besar Pulau Pinang. Tiga hari selepas itu saya diberitahu positif Covid 19,” jelasnya.

Pekerja penghantar surat  itu berkata, beliau bagaimanapun amat bersyukur kerana tidak dipandang serong kerana jangkitan berkenaan.

“Mujur kawan-kawan yang naik satu kereta dan keluarga di rumah di rumah tidak dijangkiti. Mereka langsung tak salahkan saya malah beri sokongan padu sepanjang rawatan di hospital,” tambahnya.

Beliau menjalani rawatan selama enam hari di dalam wad dan dibenarkan keluar hospital selepas pulih sepenuhnya.

Katanya, untuk dua hari pertama pasukan perubatan hanya memberi ubat selesema sahaja.

“Selepas itu doktor beritahu saya perlu guna antibodi sendiri untuk lawan penyakit. Sepanjang di hospital saya tak fikir negatif dan buat aktiviti macam biasa. Alhamdulillah sembuh selepas itu.

“Enam orang yang bersama saya di dalam wad semuanya juga sembuh,” jelasnya.

Mie juga tidak patah semangat untuk meneruskan dakwah bersama jemaah tabligh di masa hadapan walau dijangkiti penyakit berbahaya sewaktu menyertai kegiatan itu.

“Kegiatan tabligh ini berusia lebih 100 tahun. Isu Covid-19 dengan tabligh ini hanya kebetulan dan juga Allah pilih kita untuk rasa.

“Saya tetap akan sertai tabligh pada masa depan tetapi akan lebih ambil berat soal penjagaan kesihatan dan kebersihan,” katanya lagi.

Seorang lagi pesakit, Yazid Mohammad, 56, berkata pengalaman dijangkiti Covid-19 membuatkan beliau lebih menghargai hidup dan peka kepada kebersihan.

“Saya juga menghargai orang di sekeliling saya dan sentiasa bersedia untuk menolong insan yang memerlukan.

“Saya juga sudah mengambil makanan berkhasiat untuk meningkatkan imuniti dalam badan, membuat senaman dan paling penting sentiasa berdoa dan sembahyang,” kata pesakit kes ke-71 itu.

Beliau yang tidak dapat melupakan pengalaman di katil 13C, Wad 28 di Hospital Kuala Lumpur berkata tempoh tesebut juga amat menguji fizikal dan emosinya.

“Ketika di hospital, kami tidak ketentuan, ketakutan dan bimbang dengan ahli keluarga yang ada kontak secara langsung dan risiko jangkitan di kalangan kami.

“Ramai juga yang kemurungan, terutamanya apabila mendapat tahu ada rakan-rakan yang lain boleh keluar hospital dan kebimbangan apabila mendapat berita ada pula yang dipindahkan ke ICU,” katanya.

Cabaran itu juga juga semakin mendekatkan dirinya kepada Tuhan sebagai tempat bergantung.

“Saya sedar setakat hari ini tiada vaksin lagi untuk membunuh virus ini. Tiada doktor atau manusia yang mampu hapuskan Covid-19 ini kecuali hanya Dia yang empunya makluk bernama Covid ini.”

Reza Huzairi Zainuddin bersyukur kerana terpilih untuk menderma plasma darahnya untuk membantu merawat pesakit Covid-19 lain. – Gambar The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

Seorang lagi pesakit yang berjaya sembuh gembira gembira kerana pengalaman melawan kuman itu bermakna kerana memberinya peluang untuknya berbakti kepada masyarakat lain.

Reza Huzairi Zainuddin berkata, beliau gembira kerana plasma darahnya boleh membantu merawat pesakit lain yang dijangkiti koronavirus tersebut.

“Allah gantikan kesedihan saya pada 2020 ini dengan rasa terharu dan bangga kerana berpeluang membantu pesakit Covid-19 melalui pendermaan plasma darah ini.

“Saya merupakan penderma sulung negara pada 2 April lalu, selepas plasma darah saya didapati sihat dan sesuai serta memenuhi kriteria untuk membantu rawatan pesakit Covid-19 yang kritikal,” katanya.

Jelasnya, penderma plasma perlu bebas sebarang penyakit kronik, tidak mengambil sebarang ubat pada jangka masa panjang dan mempunyai kesihatan yang optimum.

Menurutnya, beliau kini banyak melakukan senaman ringan di rumah bagi mengekalkan tahap kesihatan diri dan mengamal penjarakan sosial ketika berada di tempat awam.

Menurut beliau, dengan berat badannya 65 kilogram, hanya 500 mililiter plasma darahnya boleh diambil pada satu masa, namun jumlah itu sudah memadai untuk membantu rawatan beberapa pesakit.

Jelasnya, plasma darah yang didermakan itu akan dijadikan serum untuk dimasukkan ke dalam darah pesakit Covid-19 yang kritikal bagi membantu mereka melawan virus maut berkenaan.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan kesan optimum hanya dapat diperoleh apabila ia digunakan oleh orang yang mempunyai jenis darah sama dengannya.

Oleh sebab itu, beliau berharap lebih ramai bekas pesakit Covid-19 yang sihat tampil untuk menderma plasma darah bagi membantu merawat pesakit yang sedang berjuang melawan virus itu. – 21 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen