Anggota polis maut kemalangan


SEORANG anggota polis berpangkat sarjan maut selepas terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang setelah tamat tugas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kilometer 55, Jalan Ipoh Taiping dekat Ipoh petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan yang memaklumkan mengenai kemalangan membabitkan A Rahman Yeob, 59, yang juga Timbalan Ketua Polis Balai, Balai Polis Padang Rengas pada 4.40 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Padang Rengas menuju ke arah Kuala Kangsar dan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebelum jatuh menggelongsor ke tiang besi penghadang jalan di lokasi kejadian,” menurutnya dalam kenyataan di Ipoh malam ini.

Beliau berkata pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian telah cuba memberikan bantuan pernafasan namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 5.25 petang.

Razali berkata pemeriksaan pada motosikal jenis Yamaha Ego LC dinaiki mangsa mendapati ada kesan calar di bahagian sisi kanan manakala tempat kejadian merupakan jalan berkembar dua lorong yang dipisahkan besi penghadang jalan dan jalan berturap lurus.

Beliau berkata waris mangsa telah dimaklumkan serta kenderaan terlibat dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Kangsar.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – Bernama, 20 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen