Inspektor disyaki rogol wanita Mongolia bebas dengan jaminan polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

SEORANG pegawai polis yang disyaki merogol dua wanita warga Mongolia di sebuah hotel pada 10 April lalu dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata pihaknya sedang menunggu arahan lanjut dari pejabat timbalan pendakwa raya.

“Tidak ada keperluan untuk menahannya lebih lama selepas soal siasat selesai. Kertas siasatan sudah selesai dan polis sedang menunggu arahan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 11 April lalu, polis menyelamatkan kedua-dua wanita berusia 20 dan 37 tahun yang mendakwa dikurung di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Berikutan itu, suspek berusia 30 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Pada masa sama, polis mendapatkan perintah perlindungan sementara daripada mahkamah terhadap kedua-dua mangsa dan tiga wanita lain untuk membantu siasatan. – 20 April, 2020.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen