Adham Baba akui 'tersasul' ucap telesidang dengan 500 negara


Menteri Kesihatan Adham Baba dan timbalannya, Noor Azmi menjadi bahan jenaka di media sosial selepas beberapa kontroversi berhubung ucapan dan tindak-tanduk mereka ketika berdepan dengan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2020.

MENTERI Kesihatan Adham Baba menjelaskan bahawa beliau tidak sengaja mengatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdiri dari “500 negara” ketika siaran langsung Facebook bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya tersasul mengatakan 500 negara - yang saya maksudkan adalah 500 peserta dari seluruh dunia,” katanya kepada The Star.

Menteri tersebut sebelum ini menjadi bahan jenaka di media sosial setelah memberikan kenyataan bahawa 500 negara dihubungi beliau semasa perbualan Facebook secara langsung dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Semasa perbualan itu, menteri kesihatan itu mengatakan bahawa beliau yakin bahawa usahanya setakat ini sebagai menteri dalam memerangi penularan Covid-19 telah diakui secara global.

“Saya telah mengadakan persidangan video dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), saya melakukan persidangan video langsung dengan menteri kesihatan dari China, Singapura dan juga persidangan secara langsung dengan menteri-menteri Asean,” katanya.

“Saya telah mengadakan persidangan video dengan WHO, (dan) 500 negara,” katanya kepada presiden Umno.

Ucapan tersebut menjadi bahan jenaka pengguna media sosial, kerana hakikatnya hanya ada 195 negara di dunia.

Rakyat Malaysia menggunakan kenyataan beliau itu sebagai bahan jenaka bahkan salah seorang pengguna Twitter mengucapkan tahniah kepada Adham kerana berjaya mencari dan merekrut 305 negara tambahan ke dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – 19 April, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen