Tragedi berdarah Las Vegas, penganjur konsert dan hotel disaman


Mandalay Hotel dan penganjur konsert, Live Nation disaman kerana didakwa cuai dalam melindungi mereka yang datang ke konsert itu. Pada 1 Oktober, Stephen Paddock melepaskan tembakan dari tingkat 32 hotel Mandalay, membunuh 58 orang dan mencederakan 500 yang lain. – Gambar AFP, 21 November, 2017.

SAMAN difailkan pada Isnin terhadap syarikat yang menganjurkan konsert musik country di Las Vegas, tempat di mana seorang lelaki bersenjata membunuh 58 orang dan mencederakan hampir 500 yang lain.

Dua rangkaian hotel turut dinamakan dalam saman itu, yang mendakwa defendan kerana cuai dan gagal menyediakan keselamatan mencukupi pada tragedi berdarah 1 Oktober itu.

Dari sebuah bilik tingkat 32 di Mandalay Bay Resort and Casino, lelaki itu, Stephen Paddock melepaskan tembakan kepada penonton konsert. Paddock kemudiannya ditemui mati dalam bilik itu, dipercayai membunuh diri.

Konsert itu adalah sebahagian daripada festival musik dikenali sebagai Route 91 Harvest Country Music.

Dua peguam pada sebuah sidang media Isnin lalu mengatakan lima saman dibuat bersama-sama oleh 450 mangsa tembakan dan sanak saudara mereka sudah difailkan.

Saman itu bukan sahaja disasarkan kepada keluarga Paddock tetapi juga promoter festival musik itu, Live Nation, kumpulan hotel Mandalay dan pemiliknya, MGM Resort International.

“Kita semua sukakan tempat acara besar dan pergi ke situ,” kata seorang peguam, Chad Pinkerton. “Kita bayar untuk berada di sana, dan perkara asas yang kita jangka adalah ia selamat. Dan kami akan tunjukkan dalam kes ini, defendan tidak memastikan keselamatan mereka yang datang.”

Live Nation dalam satu kenyataan mengatakan mereka masih “berdukacita” untuk mangsa dan keluarga serta mereka yang “selamanya akan terkesan oleh tindakan ganas tidak berperi kemanusian itu,” dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam siasatan.

Pengadu mendakwa Paddock menggunakan statusnya selaku pelanggan tetap hotel Mandalay dan kasino untuk menggunakan lif perkhidmatan hotel dan mengangkut senjata api ke dalam biliknya beberapa hari sebelum kejadian itu berlaku. – AFP, 21 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen