Belia Kluang bantu pekebun jual sayur di media sosial


Angie Tan

Industri pertanian terjejas akibat pandemik Covid-19, dan perintah kawalan pergerakan menyebabkan jualan sayuran dan buah-buah merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2020.

SEKUMPULAN belia Kluang muncul dengan idea untuk membantu pekebun kecil di kawasan mereka untuk menjual hasil tanaman ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Menggelar kumpulan mereka Cahaya Aspirasi, belia ini melancarkan “Surprise Food Box” untuk membantu menjual sayuran dan buah-buahan yang sukar dijual untuk membantu petani.

Wakil kumpulan itu, Tan Tze Ping berkata sebelum pelaksanaan PKP pun, industri pertanian sudah berdepan masalah jualan sayur dan buah merudum kerana pandemik Covid-19.

“Bila kerajaan umum pelaksanaan PKP, pekebun terkejut dan mereka tidak tahu bagaimana hendak menjual hasil tanaman mereka.

“Jadi lepas berbincang, kami buat keputusan untuk lancarkan pelan ‘kotak makanan’,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata projek itu dilancarkan sehari selepas PKP bermula pada 18 Mac, dan respons diterima amat menggalakkan.

Kumpulan Tan kini membantu 15 pekebun kecil di Kluang dan dalam tempoh kurang sebulan, hampir 700 kotak berharga RM50 dan RM60 setiap satu, terjual di online.

“Ada tiga hingga empat jenis buah dan sayur dalam setiap kotak, bergantung pada hasil yang dikutip pada hari berkenaan,” katanya.

Katanya, pekebun membantu dalam jualan, pembungkusan dan penghantaran.

Menjelaskan cara projek itu dijalankan, Tan berkata kumpulannya akan ke kebun, melihat hasil harian dan pasarkan ia menerusi media sosial.

“Kami akan mencari pekebun kecil yang memerlukan bantuan, dan memahami masalah mereka, jenis bantuan yang diperlukan dan berapa banyak hasil tanaman boleh diperolehi setiap hari.

“Selepas kumpul maklumat, kami gunakan Facebook untuk mempromosikan dan mengagihkan semua hasil tanaman ke dalam kotak.”

Dari awal rancangan itu, katanya respons diterima amat menggalakkan.

“Kaedah ini membantu pekebun menjana pendapatan, dan orang ramai dapat menikmati sayur dan buah segar tanpa perlu ke kedai.”

Cahaya Aspirasi ditubuhkan pada 2018. Mereka berharap dapat terus membantu pekebun kecil dalam usaha pembungkusan dan pemasaran pada masa depan.

Tan berkata majoriti pekebun kecil tempatan terdiri daripada warga emas yang tidak tahu bagaimana menggunakan media sosial.

“Kebanyakan penduduk Kluang ialah warga emas dan kanak-kanak. Golongan dewasa kebanyakannya pindah ke Singapura.

“Jaid kami mahu bantu beritahu kisah mereka menerusi pembungkusan dan kerja pemasaran, supaya orang ramai tahu dan dapat membantu sama.” – 18 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen