Peringatan kepada Perikatan Nasional: Jangan pijak periuk api


BERDASARKAN maklum balas rakyat, setakat ini ramai yang berpuas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Apabila kerajaan ini dibentuk ada yang melemparkan pelbagai kecaman namun kami yakin ramai antara mereka yang telah mengubah pendirian atau sekurang-sekurangnya telah mendiamkan diri.

Tahap kepuasan hati rakyat adalah tinggi sehingga terdapat pihak yang terpaksa memberi insentif kepada ahli-ahli mereka untuk mengkritik kerajaan.

Kerajaan PN mengambil alih beberapa minggu sebelum pandemik Covid-19 menjadi serius dan dua kemungkinan boleh berlaku.

Pertama, kerajaan gagal menguruskan pandemik ini dan membangkitkan kemarahan rakyat.

Kedua, kerajaan berjaya menguruskan pandemik ini dengan baik dan menerima pujian dari rakyat.

Alhamdulillah, kerajaan telah menguruskannya dengan baik melalui polisi-polisi yang realistik dan prihatin kepada keperluan rakyat.

Tidak perlu ucapan berapi-api yang penuh dengan retorik atau menjanjikan langit dan bumi tetapi cukup dengan berterus-terang dan betul-betul memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Sama ada sedar atau tidak, tiga individu yang sering muncul di kaca televisyen yang dapat meredakan kebimbangan rakyat, bukan tokoh politik.

Mereka adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab ke atas Hal Ehwal Agama.

Ini membuktikan ilmu dan kepakaran itu kadang-kala lebih penting dari jawatan dalam politik.

Sebenarnya bukan susah untuk kerajaan PN menjadi lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana prestasi kerajaan sebelum ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Mereka membuat banyak kesilapan dan untuk kerajaan PN menjadi lebih baik dari kerajaan PH maka jangan mengulangi kesilapan-kesilapan tersebut.

Tidak perlu memiliki pengalaman bertahun-tahun dalam politik untuk memahami hakikat ini. Pelajar sekolah rendah pun faham.

Selepas pandemik ini berlalu, rakyat tidak perlu lagi memikirkan tentang perintah kawalan pergerakan atau langkah-langkah untuk mengelakkan jangkitan.

Mereka boleh menumpukan perhatian kepada lebih banyak perkara. 

Ketika itu setiap tindakan kerajaan akan diteliti dengan terperinci.

Jika kerajaan PN mengulangi kesilapan dan amalan buruk kerajaan PH, maka bersedialah untuk menjadi pembangkang.

Hari ini terdapat juga isu-isu tetapi rakyat tidak ada masa untuk melayan mereka yang cuba menangguk di air yang keruh.

Rakyat lebih nampak usaha-usaha kerajaan untuk membantu mereka. Rakyat sudah bosan dengan sepak terajang dunia politik.

Tetapi selepas ini jika berlaku pertelingkahan di dalam PN sepertimana di zaman PH, menteri-menteri menjadi bahan gelak ketawa atau pelantikan jawatan-jawatan dalam kerajaan dan agensi kerajaan di atas pertimbangan politik semata-mata, maka sudah tentu rakyat tidak akan berdiam diri. 

Rakyat hari ini terlalu cerdik. Tidak ada perkara yang dapat disembunyikan dari mereka.

Kerajaan PN seperti seorang askar yang berjalan di medan perang. Ada jalan yang selamat dan ada jalan yang bahaya kerana jelas terdapat periuk-periuk api.

Hanya orang yang bodoh yang akan memilih jalan yang ditanam dengan periuk api. 

Tetapi kadang-kala tindakan orang politik susah hendak difahami.

Justeru, jangan ada yang merasakan diri mereka kebal dengan memilih jalan yang penuh dengan bahaya.

Walau bagaimanapun kami berharap ini tidak akan berlaku kerana kita tidak mahu mimpi ngeri 22 bulan kembali menemui kita. Tetapi ia di tangan pemimpin kerajaan hari ini. – 17 April, 2020.

* Iskandar Abdul Samad ialah ketua penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen