Masyarakat MyVi menuju TN50


ZF Zamir

SEMALAM saya makan tengah hari bersama seorang rakan di Bangsar sambil bermesyuarat. Kami makan tengah hari di sebuah kedai khas untuk M40 atau bahasa Melayunya “golongan pertengahan”. Saya pasti itu kedai untuk M40 kerana tiada menu makan tengah hari berharga kurang dari RM15.

Dan saya sendiri begitu pasti (setelah mencongak dan menentukan saya berada di kumpulan mana), tidak ada orang dari kumpulan B40 atau bahasa Melayunya “golongan bawahan” akan berbelanja lebih dari RM20 hanya untuk makan tengah hari. Kita boleh makan di kedai mamak dengan belanja kurang dari RM 10 misalnya.

Tentang topik perbincangan kami semalam, tidak akan saya bahaskan di sini dan biarlah kami sahaja yang mengetahuinya. Tetapi ketika memandu pulang ke Bangi selepas perbincangan tersebut, saya mendengar di radio seorang pegawai Unicef Malaysia mempromosi Hari Kanak-kanak Sedunia yang patutnya diraikan seluruh dunia pada 20 November setiap tahun.

Kebetulan sehari sebelumnya dalam kumpulan perbualan Whatsapp sebuah think tank yang saya anggotai sedang hangat berbual mengenai data yang baru didapati daripada Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu Statistik Kanak-kanak Malaysia, yang  dikeluarkan pada 15 November lalu.

Antara data yang hangat kami bincangkan adalah mengenai lebih 62,400 kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami kekurangan nutrisi yang sederhana dan teruk pada 2016.

Lebih teruk, 20.7% daripada kanak-kanak bawah 5 tahun ini dikategorikan sebagai pertumbuhan terbantut, dengan 13.7% kurang berat badan serta 11.5% kehilangan berat badan.

Selain itu, seramai 149,475 calon UPSR 2016 dikategorikan tidak mencapai tahap penguasaan minimum semua mata pelajaran dengan 9,605 calon memiliki keputusan semua gred E.

Manakala hanya separuh iaitu 228,664 calon SPM lulus semua mata pelajaran daripada 405,408 calon yang menduduki peperiksaan tersebut (definisi kanak-kanak menurut Unicef ialah semua anak di bawah umur 18 tahun).

Seramai 148,740 calon memiliki keputusan minimum 1 gred G dengan 4026 calon mendapat semua gred G.

Angka-angka yang dibentangkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ini sangatlah tidak masuk akal jika dibandingkan dengan semua jelajah TN50 yang sedang giat diarak ke seluruh negara.

Pertama, apakah penyelesaian kerajaan kepada tiga isu kesihatan kanak-kanak seperti pertumbuhan terbantut, kurang berat badan serta kehilangan berat badan dalam kalangan anak di bawah umur 5 tahun?

Kedua, apakah sebenarnya hari ini kanak-kanak di negara kita tidak lagi minum susu kerana susu sudah menjadi minuman kepada golongan M40 dan T20 sahaja?

Berapakah harga susu segar pada hari ini? Adakah anak-anak kita mendapat akses kepada nutrien yang mencukupi sebelum mencapai umur 5 tahun? Apakah kesan kelembapan ekonomi kepada pertumbuhan kanak-kanak hari ini?

Semua persoalan ini seolah-olah sebuah mimpi ngeri kepada kanak-kanak di Malaysia.

Malah data mengenai pendidikan juga memperlihatkan trend yang tidak menyenangkan.

Jurang antara murid yang cemerlang dengan murid yang gagal semakin besar, dengan lebih daripada separuh anak-anak yang mengambil peperiksaan SPM pada 2016 dikategorikan gagal malah lebih dari 149,475 anak yang mengambil peperiksaan UPSR tidak mencapai penguasaan minimum.

Hanya 8,647 calon SPM mencapai semua A manakala 148,740 calon mencapai minimum 1 gred G dan sebanyak 4,026 calon mendapat semua gred G.

Malah jika mahu dibandingkan dengan negara jiran mahupun negara lain, pendidikan tertiari Malaysia menurut Unesco pada 2015 hanyalah pada kadar 26.07%. Kita hanya menang dengan Indonesia yang rakyatnya lebih 200 juta orang iaitu 24.25%. Kita malah kalah kepada Thailand (48.56%).

Jepun yang mencapai 63.36%, menjerit melihat Finland (87.29%) dan eloklah kita bunuh diri lepas lihat pencapaian pendidikan tertiari Korea iaitu 93.18%.

Semua ini membangkitkan persoalan, apakah visi TN50 terhadap isu pendidikan tertiari negara? Berapakah sasaran kerajaan pada tahun 2030, misalnya?

Sebenarnya, pada 11 dan 12 November yang lepas berlangsung The Annual Meeting of the Global Future Councils 2017 di Dubai. Lebih 700 pakar dari seluruh dunia berkumpul dan membuat prediksi bahawa terdapat 8 perkara besar yang akan berlaku pada tahun 2030.

Seorang menteri daripada Denmark, Ida Auken menyatakan semua produk akan menjadi servis. Menurutnya: “Membeli-belah akan jadi kenangan yang jauh di bandar pada 2030, yang penduduknya sudah menemukan tenaga yang bersih dan meminjam apa yang mereka perlukan.”

Industri perubatan pula menjangkakan hospital akan menjadi home-spital. Melanie Walker, seorang doktor dan penasihat Bank Dunia berkata: “Hospital seperti yang kita tahu sekarang akan mula tidak ada, kerana kemalangan sudah berkurangan disebabkan kereta pandu sendiri dan kemajuan besar dalam perubatan pencegahan dan perubatan peribadi.”

Malah kata Ellen Stofan, pada 2030 manusia akan siap sedia untuk dipindahkan ke Marikh. “Apatah lagi, sampai saja di sana, kita mungkin akan menemui tanda-tanda hidupan asing,” kata ketua saintis di Nasa itu.

Pagi ini, apabila bangun saya kembali bingung, pertama mengingat betapa sukarnya menjadi kanak-kanak di Malaysia untuk menyambut hari kanak-kanak dalam keadaan kesihatan yang terbantut dan kurang berat badan.

Kedua, membayangkan bahawa China terlebih awal mendaratkan Yutu Rover di permukaan bulan pada 14 Disember 2013, serta India pula melalui Mars Orbiter Mission atau Mangalyaan telah pun mengelilingi Marikh sejak 24 September 2014.

Sedangkan kita masih berkeliling seluruh negara membuat perarakan dan pertemuan-pertemuan untuk mengambil pendapat rakyat mengenai apakah yang akan kita lakukan pada tahun 2050 nanti.

Tapi, ya, sudahlah, tak banyak yang boleh kita harapkan sangat pun kerana hari ini anak muda kita masih sibuk membicarakan mengenai kereta MyVi.

Mereka lupa ketika dunia sudah mempunyai kereta tanpa pemandu pada tahun 2030, mereka masih lagi berbangga memandu kereta MyVi yang ditempah minggu lalu. – 21 November, 2017.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Malaysia, from the 'debt-bondage' economy, insane property prices, race-relations etc. one reality permeates the hazy atmosphere: That everything is DISTORTED to deceive. You have foreign monies or the influence of unscrupulous foreign entities working hand in glove to perpetuate his paradox called Malaysia.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Arun Paul · Ulasan