GST bukti kerajaan bertanggungjawab, kata Najib


Desmond Davidson

Memperkenalkan GST tindakan tidak disukai ramai, tetapi ia perlu dilakukan bagi mendepani dunia yang pantas berubah, jika tidak dilakukan kerajaan sebenarnya tidak bertanggungjawab, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak mempertahankan keputusannya untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila mengatakan “tidak bertanggungjawab” jika tidak melakukannya.

“Kami tahu ia tak akan popular (tak disukai ramai). Lebih mudah untuk tak buat kerana ia nampak macam gangguan,” katanya pada ucapan pada Forum Ekonomi Islam Dunia (Wief), Kuching yang bertemakan “Disruptive change: Impact and challenges”.

Najib mengatakan kerajaan perlu bertanggungjawab dan bertindak balas kepada perubahan yang menganggu, dan situasi ini tidak mampu dihalang dunia.

“Kadang-kadang ia bermaksud memulakan gangguan apabila kami memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan,” katanya.

Perdana menteri mengatakan rancangan pembangkang untuk menghapuskannya adalah untuk “memperdayakan rakyat dan menggunakan fantasi ekonomi”.

“Pada kurun ke-21, kerajaan dan negara tidak lagi hanya boleh duduk diam dan mentadbir dengan cara lama. Kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengubah dasar kerana persekitaran berubah untuk kesejahteraan rakyat,” kata Najib.

Jika Malaysia tidak mengubah dasarnya, negara akan kehilangan daya saing dan dikalahkan negara lain, dan keberanian mengubah dasar ini adalah “kepimpinan sebenar”, katanya.

“Kita tidak boleh benarkan ia berlaku. Kita tahu jika kita mahu mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita perlu berani berubah. Itulah kepimpinan sebenar”.

GST bukan sahaja mahu meluaskan asas percukaian negara dan ia wujud di lebih 160 negara seluruh dunia, malah cukai baru itu turut menyelamatkan negara yang berdepan kejatuhan minyak global kini, katanya lagi.

Sistem pendidikan Malaysia juga akan diubah untuk menyediakan orang muda kepada dunia yang pantas berubah dan ia akan menjadi “cabaran besar”, kata Najib.

“Kita perlu menyediakan orang muda dengan kemahiran berfikir aras tinggi supaya mereka berfikiran terbuka, kreatif dan inovatof serta bersedia untuk beradaptasi dengan pekerjaan yang masih lagi belum wujud. Kita tak boleh rasa selesa. Kita juga perlu bertindak.

“Jawapannya pada jenis pendidikan yang tepat dan kita tak boleh lupa akan keperluan untuk menyediakan orang muda kita secukupnya untuk berdepan dunia yang berubah lebih pantas daripada jangkaan kita.”

Forum itu dihadiri 2,476 peserta daripada 75 buah negara. Antara yang hadir adalah ketua kerajaan dari Moroco, Comoros, dan Tartartstan. – 21 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen