TRIBUNAL PBB yang ditubuhkan untuk mengadili suspek jenayah perang Balkan adalah institusi “politik” yang gagal menyatukan Bosnia, kata seorang peguam kepada Ratko Mladic, ketua tentera ketika Perang Bosnia-Serbia.
Mahkamah itu sepatutnya “menggerakkan perdamaian” antara kumpulan etnik tetapi “kami yang tinggal di Bosnia tahu ia tidak berjaya,” kata peguam Miodrag Stevenovic kepada AFP.
Dan “pilihan siapa yang perlu didakwa, saya dengan mudah kata ia tindakan politik,” kata Stevanovic lagi.
Tibunal Jenayah Antarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY), yang akan ditutup hujung tahun ini menyabitkan 83 kesalahan berkaitan konflik kejam pada 1990-an itu ditubuhkan di The Hague pada 1993.
Pada Rabu, ICTY akan mengeluarkan penghakiman mereka terhadap Mladic, yang berdepan 11 dakwaan termasuklah genosid, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan, kesalahan yang dilakukan pada Perang Bosnia 1992-1995.
Lelaki yang kini berusia 74 tahun itu dikenali diperingkat antarabangsa dengan nama “Penyembelih Bosnia” kerana peranannya dalam perang saudara itu yang menyebabkan lebih 100,000 orang terbunuh dan 2.2 juta orang menjadi pelarian.
Ketua pendakwa raya, Serge Brammertz mengatakan dia tidak bersetuju dengan dakwaan Stevanovic, menegaskan yang pejabat pendakwaan tidak “mempunyai agenda politik”.
Katanya lagi, walaupun keadilan semata-mata tidak boleh mencapai perdamaian, “saya fikir ia adalah syarat awal membuka peluang kepada perdamaian”.
Perang Bosnia berakhir dengan perjanjian yang memecahkan negara kecil itu mengikut garis etnik, dua buah entiti separa bebas, dan hubungan keduanya masih lagi tegang.
Mladic ditahan pada 2011 selepas 16 tahun melarikan diri. Perbicaraan berlangsung selama 523 hari melibatkan 500 saksi dan 10,000 bahan bukti.
Dia didakwa bertanggungjawab kepada pembunuhan beramai-ramai lebih 8,000 lelaki dan budak lelaki pada Julai 1985 di Srebrenica, dan taklukan 44 bulan bandar Sarajevo.
Pembunuhan Srebrenica berlaku ketika penduduk kota itu cuba melarikan diri selepas ia jatuh ke tangan tentera Serb dianggap genosid oleh badan kehakiman antarabangsa.
Pendakwa raya mahu hukuman penjaran seumur hidup dikenakan ke atas Mladic.
Pada kemunculan pertamanya di mahkamah pada 2011, Mladic menafikan semua dakwaan.
“Ini adalah perbicaraan politik,” kata Stevanovic. “Sejarah akan memberikan penghakiman tidak lama lagi. Masa akan membuktikan kebenaran”.
Katanya Mladic akan terus dikenali sebagai “penyembelih” kepada sesetengah pihak dan “hero” kepada sesetengah yang lain.
“Tetapi dia adalah personaliti unggul,”. – AFP, 21 November, 2017.
Komen