Contohi Pulau Pinang tangani migran semasa PKP


KITA kini memasuki minggu kelima perintah kawalan pergerakan (PKP). Semua pihak tanpa mengira latar belakang, terdedah dengan impak ekonomi Covid-19.

Kita sedang mendepani pelbagai kesulitan dalam hidup. Ramai golongan berpendapatan rendah hilang punca rezeki dan kini dalam kesempitan ekoran impak Covid-19 ini.

Saya terbaca laporan sebuah portal berita baru-baru ini “pekerja asing terjejas kerana PKP mohon bantuan”. Pada saya, isu golongan migran dan pelarian tidak kurang pentingnya untuk diketengahkan ketika ini.

Terima kasih kerana mengangkat isu golongan itu yang merupakan sebahagian daripada ekosistem dalam masyarakat moden kita pada hari ini. Seperti dilaporkan, golongan itu dikatakan tiada pilihan bagaimana untuk berdepan situasi ketika ini.

Golongan migran dan pelarian juga menerima kesan serta tekanan daripada PKP ini. Ada dikatakan berlapar dan buntu bagaimana hendak meneruskan hari-hari mendatang tanpa pekerjaan serta bekalan makanan secukupnya.

Mereka juga insan sama seperti kita yang memerlukan pembelaan sewajarnya di kala kesukaran kerana virus Covid-19 tidak mengenal kaum, agama dan kewarganegaraan.

Benar kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, jika keselamatan dan kesihatan masyarakat migran tidak dapat dipastikan, secara tidak langsung, rantaian penularan virus tersebut tidak akan dapat dipatahkan. Kesannya adalah kepada rakyat sendiri.

Atas kesedaran itu juga, kerajaan negeri Pulau Pinang dilihat proaktif mendekati pihak majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Bagi pihak majikan, pertubuhan seperti Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Pulau Pinang didekati dalam usaha menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja masing-masing termasuk pekerja migran.

Sebagai jaminan keselamatan semua di negeri ini, pegawai penguat kuasa dari kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau keadaan tapak-tapak pembinaan untuk memastikan kepatuhan PKP.

Bagi golongan pelarian pula, kerajaan negeri bekerjasama dengan NGO yang berkhidmat dalam kalangan komuniti ini seperti Persatuan Komuniti Berdikari, Penang Stop Human Trafficking Campaign, ASPIRE Penang, Malaysian Relief Agency, Doctors Without Borders Caremongers Penang, Penang Working Group dan lain-lain.

Malah, Pulau Pinang juga meluluskan sejumlah peruntukan kepada Persatuan Komuniti Berdikari sebagai dana bantuan kepada komuniti pelarian di negeri itu. Syabas kerajaan negeri!

Keprihatinan kerajaan negeri ini dilihat akan membawa sinar kepada masyarakat migran dan pelarian di negeri itu.

Langkah peka masyarakat ini perlu turut dipraktikkan di negeri-negeri lain. Solidariti penting dalam memastikan semua golongan yang memerlukan mendapat bantuan.

Kebersamaan dalam mendepani dugaan-dugaan ini perlu digerakkan sederap bersama semua pihak. Dari kerajaan negeri ke NGO, dari ketua masyarakat ke agensi kebajikan dan sebagainya. Kita bergerak dalam satu pasukan yang prihatin kerana kehidupan pasca PKP juga tidak kurang mencabarnya.

Jadikan keprihatinan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap golongan migran dan pelarian sebagai satu bentuk pencetus agar nasib golongan itu dapat terus dibela.

Rakyat Malaysia dalam masa sama, perlu membuang sentimen negatif terhadap golongan ini kerana mereka juga kini sebahagian daripada kita. Hormati mereka sepertimana kita mahu dihormati. Lebih-lebih lagi, semua agama di dunia mengajar penganutnya untuk melakukan kebaikan sesama manusia.

Menempuh fasa pasca PKP, diharapkan masyarakat lebih terbuka untuk membantu satu sama lain, tanpa mengira latar belakang warna kulit, kecenderungan politik dan kewarganegaraan.

Biar segala prasangka tidak baik terhadap mana-mana kumpulan masyarakat sebelum ini dimatikan bersama virus Covid-19. – 17 April, 2020.

* Ben Zack ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen