TEMPOH reman seorang pegawai polis yang disyaki merogol dua wanita warga Mongolia dilanjutkan sehingga 18 April depan.
Pegawai berpangkat inspektor itu ditahan pada 11 April lalu kerana didakwa merogol wanita terbabot di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Suspek telah direman selama lima hari yang tamat pada hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmad berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah 40% siap.
Beliau sebelum ini berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan selepas polis menyelamatkan dua wanita berusia 20 dan 37 tahun di sebuah hotel.
Menurut siasatan awal, dua wanita terbabit ditahan di sekatan jalan raya sebelum dibawa ke sebuah hotel di Petaling Jaya.
“Siasatan awal mendapati dua wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap dan disyaki terlibat dengan pekerjaan berunsur maksiat.
“Dua wanita ini adalah mangsa dan kita teruskan dengan perintah perlindungan interim untuk mereka,” katanya kepada pemberita awal minggu ini.
Nik Ezanee berkata suspek ditahan reman lima hari bermula 12 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – 16 April, 2020.
Komen