HASIL saringan melibatkan 12 anggota polis di Pulau Gaya, Sabah yang terlibat dalam pengendalian mayat seorang mangsa Covid-19 didapati negatif, kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Habibi Majinji.
Tetapi, kesemua mereka masih perlu menjalani tempoh kuarantin 14 hari dan menjalani ujian kedua sebelum disahkan bebas sepenuhnya.
Habibi berkata, dalam kejadian 6 April, satu mayat lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing telah ditemui tergantung di pokok dekat kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu.
“Kami menerima maklumat daripada penduduk kampung yang menemui mayat tersebut kira-kira jam 8.11 pagi dan sepasukan polis dari Balai Polis Pulau Gaya bergegas ke lokasi kejadian.
“Polis tidak menemui sebarang pengenalan diri dan si mati dipercayai warga asing berdasarkan tiada suntikan BCG. Mayat itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.
“Apa yang mengejutkan, pada 12 April, mayat lelaki tersebut disahkan positif koronavirus oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kesemua 12 orang anggota polis yang telah mengendalikan mayat tersebut diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Habibi, enam anggota polis menguruskan mayat itu di lokasi manakala baki enam adalah pemandu kenderaan polis, jurugambar polis dan yang lain terbabit dalam menghantar mayat itu ke hospital untuk dibedah siasat.
Katanya, lelaki tersebut dipercayai membunuh diri atas alasan peribadi dan mayatnya sudah dikebumikan oleh KKM kerana tiada individu yang tampil untuk menuntut mayat berkenaan.
Menurutnya, sekiranya salah seorang daripada anggota itu didapati positif Covid-19, pihaknya akan menutup balai polis di Pulau Gaya untuk sementara waktu.– 16 April, 2020.
Komen