POLIS merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM717,896.43 selepas menahan seorang lelaki di tepi jalan di kawasan Queensbay, Bayan Lepas dekat sini petang Ahad lepas dan menyerbu sebuah rumah di sekitar kawasan yang sama pada hari berikutnya.
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di tepi jalan berkenaan pada pukul 6.30 petang, dan hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah rumah di lokasi yang sama dan membongkar stor menyimpan pelbagai dadah di situ, Isnin.
“Polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 32.65 kg heroin, 25 kg kafein, 1,545 gram heroin base, syabu (6,660 gram) dan ganja (41.7 gram) dalam serbuan itu,” katanya pada sidang akhbar, di George Town hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan awal, lelaki tidak bekerja yang mula terbabit dalam kegiatan mengedar dadah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sejak tiga minggu lepas itu mendapatkan bekalannya daripada satu sindiket antarabangsa.
Sahabudin berkata polis percaya disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suspek terpaksa menyimpan semua stok dadahnya berikutan masalah untuk menghantar bahan berkenaan.
Beliau berkata rampasan itu merupakan kejayaan terbesar Kontinjen Polis Pulau Pinang sepanjang Ops Covid-19 dijalankan, dan lelaki yang telah berkahwin itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 16 April, 2020.
Komen