Kanada bimbang kepulangan bekas pejuang IS ancam keselamatan negara


Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berikrar mendakwa warganya yang melanggar undang-undang anti keganasan dengan menyertai kumpulan militan Islamic State di samping cuba mengintegrasikannya ke dalam masyarakat. – Gambar EPA, 21 November, 2017.

KANADA melahirkan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan negara susulan rakyatnya yang menyertai kumpulan militan Islamic State (IS) kembali ke negara itu, kata Perdana Menteri Justin Trudeau.

Di Parlimen, Trudeau berikrar mendakwa mereka yang melanggar undang-undang anti keganasan Kanada dengan menyertai kumpulan IS, tetapi juga mengatakan kerajaan akan cuba mengintegrasikannya ke dalam masyarakat.

“Kami mengakui kepulangan walaupun seorang (yang menyertai kumpulan IS) mungkin mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara yang serius,” kata Trudeau.

“Kami akan memantau mereka, kami juga akan membantu mereka menghapuskan ideologi pengganas itu,” katanya.

Hampir 180 orang Kanada diketahui ke luar negara untuk menyertai kumpulan IS. Kira-kira 60 orang kembali semula ke Kanada, menurut angka kerajaan yang dikeluarkan pada 2016.

Hanya dua yang kembali didakwa di bawah akta anti keganasan di Kanada, setakat ini.

Menteri Keselamatan Awam, Ralph Goodale minggu lepas menjelaskan kesukaran mengumpul keterangan di zon peperangan bagi memastikan kejayaan pendakwaan jenayah.

Bagaimanapun, beliau menolak penggunaan konsep pembunuhan di luar proses penghakiman yang digunakan sekutunya untuk menyelesaikan masalah itu, memberitahu stesen penyiaran awam CBC: “Kanada tidak terlibat dengan death squad.” – AFP, 21 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen