POLIS Johor hari ini menyangkal dakwaan tiada kawalan pihak berkuasa dan tiada jarak sosial di beberapa tempat di bandaraya ini seperti yang tular dalam laman sosial Facebook sejak semalam.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pemeriksaan yang dilakukan di tempat-tempat yang dinyatakan itu mendapati terdapat pematuhan jarak sosial sekaligus menafikan tuduhan berkenaan.
“Kita telah semak lokasi yang telah dinyatakan doktor berkenaan iaitu di Pasar Larkin, kedai serbaneka Taman Bukit Mutiara serta sebuah pasar raya di Taman Daya dan berdasarkan semakan memang ada jarak sosial jadi dakwaan doktor berkenaan tidak tepat.
“Untuk makluman juga, kita telah menangkap 2,503 orang sepanjang PKP dilaksanakan jadi dakwaan yang cakap polis tidak ambil tindakan (tidak benar),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan turut menafikan dakwaan doktor wanita berkenaan terhadap polis tidak melakukan kerja dan hanya duduk di pejabat sahaja.
Jelasnya, sepanjang PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lepas, 3,765 pegawai dan anggota polis ditugaskan di sekatan jalan raya, kawasan kuarantin, hospital dan seumpamanya.
Ayob Khan berkata pihaknya turut dibantu 1,575 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Sehubungan itu, beliau menasihati orang awan terutama golongan profesional agar menyemak terlebih dahulu fakta sebelum menularkan sesuatu video atau gambar sehingga mengelirukan masyarakat.
“Kita juga telah semak latar belakang doktor berkenaan, dia bukan bertugas dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dia pun buat video (aduan) berdasarkan cakap orang lain (pesakit) bukan dia pergi tengok sendiri.
“Jadi saya tegaskan kalau nak buat aduan boleh, kita alu-alukan tetapi pastikan fakta itu betul,” katanya.
Ayob Khan mengulas mengenai satu video tular yang dipercayai dimuat naik seorang doktor swasta berdurasi 12 minit itu mengenai beberapa kawasan awam yang dipercayai dikunjungi orang ramai tanpa mengamalkan jarak sosial yang dicadangkan.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan gambar tular di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang didakwa tidak mengamalkan jarak sosial terhadap tahanan PKP, sebaliknya menjelaskan tahanan yang baru sampai ketika itu sedang menjalani proses dokumentasi dan turut mengamalkan jarak sosial. – Bernama, 16 April, 2020.
Komen