Serangan siber lebih canggih sasar Arab Saudi


Pusat Keselamatan Siber Nasional Arab Saudi mengesan Ancaman Berterusan Maju (APT) baru yang menyasarkan negara itu. – Gambar EPA, 21 November, 2017.

ARAB Saudi mengesan serangan siber lebih canggih yang mensasarkan negara itu, dalam percubaan baru oleh penggodam untuk menganggu komputer kerajaan.

Pusat Keselamatan Siber Nasional (NCSC) Arab Saudi berkata, serangan itu melibatkan penggunaan malware “Powershell”, tetapi tidak mengulas mengenai sumber serangan itu atau badan-badan kerajaan yang disasarkan.

“NCSC mengesan Ancaman Berterusan Maju (APT) baru yang menyasarkan Arab Saudi,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, sambil menambah serangan itu cuba menyusup komputer menggunakan teknik email phishing.

Arab Saudi mengalami serangan siber yang kerap, termasuk “Shamoon”, malware pemusnah cakera agresif yang digunakan dalam serangan terhadap sektor tenaga negara itu pada 2012.

Saudi Aramco, syarikat minyak terbesar di dunia, adalah antara syarikat yang diserang Shamoon, dipercayai sebagai serangan siber terburuk negara itu.

Pegawai perisikan Amerika Syarikat pada masa itu mengatakan mereka mengesyaki kaitan dengan Iran. – AFP, 21 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen