BRITAIN menyifatkan Robert Mugabe hilang sokongan rakyat dan partinya selepas presiden Zimbabwe itu bertegas masih berkuasa walaupun tentera sudah mengambil alih pemerintahan dan menuntut pengundurannya.
Jurucakap rasmi Perdana Menteri Theresa May berkata seperti ditunjukkan televisyen malam tadi, pihaknya tidak tahu bagaimana pengakhiran krisis di Zimbabwe.
“Namun apa yang jelas ialah Mugabe kehilangan sokongan rakyat dan partinya.
“Ketika situasi masih tidak menentu, kami merayu penduduk mengelak keganasan. Kami berharap untuk melihat resolusi aman dan segera terhadap situasi itu,” kata jurucakap berkenaan.
Dalam ucapan disiarkan secara langsung di televisyen lewat semalam, Mugabe menafikan beliau akan berundur, sekali gus menyebabkan krisis di negara itu berlarutan sehingga masuk minggu kedua.
Ucapannya mencetuskan kemarahan dan perasaan tidak percaya dalam kalangan penduduk Zimbabwe, menambah kebimbangan pemimpin veteran berusia 93 tahun itu berdepan tentangan ganas.
Mugabe memerintah Zimbabwe sejak kemerdekaan negara dari British pada 1980-an. – AFP, 20 November, 2017.
Komen