Pengusaha tadika tersepit ibu bapa enggan bayar yuran


Angie Tan

Pengusaha berkata penutupan tadika sepanjang PKP menyebabkan mereka berdepan masalah untuk membayar gaji guru ekoran keengganan ibu bapa membayar yuran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2020.

PENGUSAHA tadika di seluruh negara dalam keadaan tersepit ekoran keengganan ibu bapa membayar yuran walaupun ditawarkan pembelajaran dalam talian.

Tadika ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19. PKP yang masuk fasa ketiga dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Pengusaha tadika memberitahu The Malaysian Insight, penutupan selama 42 hari menyebabkan mereka berdepan masalah untuk membayar gaji guru sementara menunggu PKP tamat.

Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia Sally Ng berkata walaupun 90% daripada tadika menawarkan diskaun yuran antara 30% hingga 60% semasa tempoh PKP, ramai ibu bapa masih enggan membayar.

“Ibu bapa dan pengusaha ‘bertekak’ sampai ke satu tahap ia memberi tekanan. Kami sering dimarahi dan ini sangat membebankan,” kata Ng.

Tambah beliau, diskaun yang ditawarkan bergantung kepada kawasan di mana tadika beroperasi. Yuran tadika di kawasan luar bandar misalnya jauh lebih murah, jadi tidak memerlukan diskaun yang banyak, jelas Ng.

“Yang jadi masalahnya ialah tadika sepenuh masa, termasuk penjagaan anak. Banyak yang perlu dipotong kerana pada ketika ini kami tak berikan perkhidmatan,” ujar Ng.

Menurutnya, beberapa tadika menyediakan pembelajaran dalam talian semasa PKP tetapi ada ibu bapa yang tidak mahu memberi kerjasama.

Ng berkata ibu bapa berpendapat memandangkan PKP dikuatkuasakan, maka mereka tidak perlu membayar yuran.

“Ini bukan masalahnya. Kami masih sediakan pembelajaran dalam talian semasa PKP, tetapi sesetengah ibu bapa tak mahu turut serta dan enggan bayar yuran kelas. Langsung tak mahu berbincang.”

Presiden Persatuan Guru Tadika Selangor dan Wilayah Persekutuan Tracy Ong pula berkata ibu bapa perlu mematuhi perjanjian ketika mendaftarkan anak mereka di tadika.

“Saya percaya sebelum daftarkan anak, setiap tadika menyatakan yang ini adalah sistem bayaran bulanan, jadi ini satu perjanjian.”

Ong berkata ada ibu bapa menganggap yuran tidak perlu dibayar jika tiada kelas.

Jelasnya, pihak tadika sentiasa mengalu-alukan perbincangan jika ibu bapa mempunyai masalah kewangan semasa penguatkuasaan PKP.

“Sesetengah ibu bapa kata mereka sedia bekerjasama dengan kami, kami sangat terharu,” kata Ong.

“Sesetengah pula tidak berganjak, langsung tidak mahu bercakap dengan kami.”

Menurut Ong lagi, beberapa tadika cuba menjalankan aktiviti pembelajaran dalam talian dan pada awalnya mendapat sambutan menggalakkan dari ibu bapa. Tetapi lama kelamaan sambutan berkurangan dan masalah yuran mula timbul. – 16 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen