Shafie hanya mahu manfaat politik, kata pemimpin Kristian BN


Noel Achariam Jason Santos

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup berkata Presiden Warisan Shafie Apdal hipokrit lebih besar apabila cuba mendapatkan kelebihan politik dengan menggelar pemimpin Kristian BN hipokrit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.

PRESIDEN Warisan Shafie Apdal hanya cuba mendapatkan kelebihan politik dengan menggelar pemimpin Kristian Barisan Nasional (BN) sebagai hipokrit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup.

Kurup berkata Shafie mengeksploitasi isu itu untuk kepentingan politiknya sendiri.

Bagaimanapun, menteri itu tidak mahu mengulas mengenai kerjasama Umno dengan PAS.

Kurup berkata soalan itu patut diajukan kepada parti pemerintah (Umno).

“Tidak sesuai untuk saya komen mengenai perkara itu.”

Beliau bagaimanapun mengecam Shafie kerana komen yang dibuat pada Ahad.

“Bagaimana dia (Shafie) tahun yang kami tidak buat apa-apa untuk masyarakat Kristian?

“Kami bukan mahu cari kelebihan politik. Dia hendak pergunakan isu ini untuk kepentingan politiknya sendiri.

“Jika ada sebarang isu berkaitan masyarakat Kristian, kami akan bawa kepada kerajaan persekutuan,” kata Kurup kepada The Malaysian Insight.

Pada Ahad, Shafie berkata pemimpin Kristian BN mengecewakan masyarakat mereka kerana tidak menolak kerjasama dengan PAS, yang menganjurkan Islam versi ekstrem.

Kurup berkata penyelesaian 10-perkara, yang dikeluarkan sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2011, memperuntukkan bahawa kerajaan perlu berbincang dengan pemimpin Kristian untuk mencapai kata sepakat berkenaan isu berkaitan.

“Kami bertemu perdana menteri (Najib Razak) baru-baru ini berkenaan isu import Bible dengan kalimah Allah.

“Ini isu sensitif tetapi kami tidak mahu manfaat politik daripada isu itu, bukan seperti Shafie.

“Ini menunjukkan dia hipokrit lebih besar,” katanya.

Adun Kiulu dari Parti Bersatu Sabah (PBS) Joniston Bangkuai berkata agam mengejutkan untuk Shafie yang pernah menjadi menteri persekutuan bercakap mengenai perkara itu sekarang.

“Apa lagi kalau bukan untuk mendapatkan manfaat politik,” katanya.

Shafie menamakan Kurup yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Presiden Parti Bersatu Sabah Joseph Pairin Kitingan, pemangku presiden Upko Wilfred Madius Tangau dan Presiden Upko Bernard Dompok yang menggambarkan diri sebagai hero Kristian hanya di kawasan masing-masing saja.

Shafie bertanya kenapa Kurup Dompok dan Pairin tidak bercakap apa-apa pada Umno, dalam Parlimen dan pada mesyuarat tertinggi BN.

“Mereka tidak cakap apa-apa, tetapi di Sabah mereka cakap macam-macam untuk tunjukkan mereka memperjuangkan agama.

 “Dalam BN, sepatutnya ada semangat kesepakatan di kalangan ahli-ahlinya, walaupun satu anggotanya menolak, sepatutnya tiada perbincangan.

“Tetapi Umno kini bekerjasama dengan PAS,” kata Shafie. – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen