China gesa Bangladesh, Myanmar selesai krisis Rohingya


Kanak-kanak pelarian Rogingya mengangkut air dari sebuah perigi di kem Hakimpara, Bangladesh. Dianggarkan lebih 600,000 masyarakat Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine, Myanmar akibat keganasan tentera. – Gambar AFP, 20 November, 2017.

MENTERI Luar China Wang Yi menggesa Bangladesh dan Myanmar menyelesaikan krisis Rohingya menerusi rundingan dua hala berbanding inisiatif antarabangsa, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya merumitkan lagi keadaan, kata Wang dalam satu taklimat akhbar baru-baru ini di Kedutaan China di Dhaka, Bangladesh, sambil menambah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu membantu kerjasama dua hala Bangladesh-Myanmar untuk menyelesaikan masalah itu secara aman.

China menyokong penyelesaian krisis itu secara aman dan menerusi rundingan dua hala antara Bangladesh dan Myanmar, katanya dan menambah situasi itu kompleks yang memerlukan satu penyelesaian menyeluruh.

“Selain itu, pembangunan ekonomi negeri Rakhine diperlukan. China sedia membantu,” kata Wang.

Keganasan meletus di negeri Rakhine sejak kumpulan bersenjata menyerang 24 pos polis dan memecah masuk ke sebuah pos tentera pada 25 Ogos.

Setakat ini lebih 600,000 masyarakat Islam Rohingya, terutama wanita dan kanak-kanak, mencari pelbagai jalan untuk melarikan diri ke Bangladesh. – Bernama, 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen