Speaker Parlimen Indonesia didakwa kes rasuah RM707 juta


Speaker Parlimen Indonesia Setya Novanto memakai baju suspek rasuah berwarna oren dibawa dari hospital ke pusat tahanan untuk soal siasat menggunakan kerusi roda. – Gambar AFP, 20 November, 2017.

SPEAKER Parlimen Indonesia didakwa oleh agensi anti rasuah republik itu berhubung peranannya dalam kerugian AS$170 juta (RM706 juta) dialami negara itu yang dikaitkan dengan skim kad identiti elektronik.

Setya Novanto, yang sebelum ini pernah berdepan tuduhan peras ugut, menjadi salah seorang daripada beberapa ahli politik yang dituduh menyalahgunakan dana kerajaan bagi projek kerajaan.

Skandal itu yang muncul awal tahun ini, mengejutkan rakyat Indonesia walaupun republik itu antara negara paling rasuah di dunia.

Novanto ditahan untuk soal siasat semalam, selepas beberapa insiden dramatik apabila beliau dikatakan berlakon sakit dan terbabit dalam kemalangan tidak lama selepas rumahnya diserbu penyiasat anti rasuah.

“Kami akan mengambil semua langkah undang-undang untuk membuktikan beliau tidak bersalah,” kata peguamnya Fredrich Yunadi.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) pada malam Rabu menyerbu hartanah Novanto yang bernilai jutaan dolar di ibu kota Jakarta, yang terkenal dengan jurang besar taraf hidup antara orang miskin dan kaya.

Tetapi, ahli politik berusia 62 tahun itu tidak ditemui, mencetuskan kekecohan di seluruh ibu kota dalam operasi mencarinya, dibimbangkan beliau akan melarikan diri ke luar negara.

Apa yang peliknya, beliau muncul di hospital di Jakarta pada Khamis, mendakwa terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Semalam, doktor berkata beliau tidak menunjukkan tanda kecederaan serius dan sihat untuk disoal siasat.

Novanto yang berjaket oren dipakai oleh suspek rasuah dilihat dipindahkan menggunakan kerusi roda dari hospital ke pusat tahanan.

Ahli politik berpengaruh daripada parti Golkar itu pernah ditangkap terbabit dalam skandal rasuah sebelum ini.

Beliau dipaksa meletak jawatan sebagai speaker pada 2015 selepas dinamakan sebagai suspek memeras ugut dari syarikat perlombongan gergasi Amerika, Freeport-McMoRan untuk membolehkan syarikat itu mendapat hak beroperasi di kepulauan itu.

Beliau dibebaskan daripada tuduhan itu dan dilantik semula sebagai speaker tahun lalu.

Pada 2015, beliau tampil pada sidang akhbar di bangunan pencakar langit milik Donald Trump di Manhattan, di mana presiden Amerika Syarikat itu menggambarkannya sebagai seorang lelaki hebat yang akan melakukan sesuatu yang hebat untuk AS. – AFP, 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen