Ketua sindiket dadah Brazil ditahan di Mozambique


SALAH seorang penjenayah paling dikehendaki di Brazil, yang dituduh mengetuai kumpulan pengedar dadah paling besar di negara itu, ditahan di Mozambique semalam.

Gilberto “Fuminho” Aparecido dos Santos, ketua kumpulan First Capital Command (PCC), ditahan dalam satu operasi antarabangsa melibatkan kerjasama pihak berkuasa anti dadah Brazil, Mozambique dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Brazil dalam satu kenyataan berkata dos Santos dituduh mengedar berjuta tan kokain ke seluruh dunia.

“Tertuduh adalah pengedar kokain terbesar kumpulan PCC dan sudah lebih 20 tahun menjalankan operasi,” kenyataan itu dipetik.

PCC diasaskan dari dalam penjara pada 1990-an, dan dianggap sebagai kumpulan jenayah paling utama di Brazil. Kumpulan itu mengawal pengedaran kokain dari Colombia, Peru dan Bolivia.

Seorang lagi ketua kumpulan PCC, Marcos Willians Herbas Camacho kini menjalani hukuman penjara 200 tahun di Brasilia.

Dos Santos juga dituduh membiayai rancangan membantu Camacho melarikan diri dari penjara. – AFP, 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen