6 langkah lindungi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang PKP


PADA hari Ahad (12 April), Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menyeru mangsa keganasan rumah tangga untuk menghubungi Talian Kasih.

Beliau mengumumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Polis DiRaja Malaysia sedang bekerjasama untuk memberi respons kepada keganasan rumah tangga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengalu-alukan kenyataan menteri dan menyeru kerajaan untuk mengambil enam langkah kritikal bagi memastikan respon ini dilaksanakan dengan efektif.

Pertama, kerajaan perlu mewujudkan SOP dalam memberi respon kepada kes keganasan rumah tangga ketika PKP. Ini akan menambahbaik penyelarasan antara kesemua agensi yang berkaitan dan kesannya, akan memastikan para mangsa tidak terus didera.

Kedua, kerajaan harus memastikan para mangsa boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) daripada mahkamah ketika PKP.

Perintah Perlindungan Interim adalah kritikal dalam melindungi para mangsa kerana perintah ini akan memberi amaran kepada pendera bahawa mereka perlu menghentikan penderaan yang mereka lakukan, atau mereka akan ditahan.

Namun, dengan pengurangan operasi mahkamah, ianya masih lagi tidak jelas bagaimana para mangsa boleh memohon untuk IPO. Oleh itu, mahkamah sewajarnya menyenaraikan permohonan IPO, dan tindakan terhadap sesiapa yang melanggarnya, sebagai salah satu perkhidmatan yang masih dijalankan sepanjang pelaksanaan PKP.

Ketiga, kerajaan harus menghasilkan lebih banyak pesanan khidmat masyarakat mengenai keganasan rumah tangga.

Sebarang pengumuman sepatutnya bukan sahaja memaklumkan para mangsa mengenai bagaimana untuk mendapatkan bantuan, tetapi juga memberi mesej bahawa tiada alasan untuk penderaan.

Keempat, kerajaan harus mengerahkan kakitangan dan sumber yang mencukupi bagi memastikan respon kepada keganasan rumah tangga kekal berkesan.

Contohnya, Talian Kasih perlu dibekalkan dengan kakitangan yang mencukupi untuk menguruskan peningkatan panggilan. Sesetengah mangsa telah melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghubungi Talian Kasih yang mungkin disebabkan oleh bilangan panggilan yang terlalu banyak.

Tambahan lagi, kerajaan perlu menugaskan sesetengah pegawai kebajikan masyarakat dengan tugas khas untuk memberi respon kepada kes-kes keganasan rumah tangga dan mengecualikan mereka daripada tugas untuk mengagihkan makanan.

Kelima, kerajaan perlu menambahbaik akses kepada rumah perlindungan sementara dan menyenaraikannya sebagai perkhidmatan penting.

Rumah perlindungan merupakan satu talian hayat buat mangsa, tetapi malangnya amat kurang di Malaysia. Amalan terbaik antarabangsa menyarankan minimum satu bilik keluarga di dalam sebuah rumah perlindungan wanita untuk setiap 10,000 orang, tetapi Malaysia cuma memiliki kira-kira satu bilik keluarga untuk setiap 72,538 orang.

WAO menguruskan rumah perlindungan keganasan ruma htangga terbesar di Malaysia, akan tetapi rumah perlindungan kami kini berada pada kapasiti maksimum. Ramai mangsa telah menghubungi WAO untuk meminta perlindungan, dan kami tidak berupaya untuk menempatkan mereka di mana-mana. Segelintir mangsa terpaksa tidur di dalam kereta, dan mengakibatkan mereka ditahan oleh polis.

Pada masa yang penting ini, kami mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan rumah perlindungan sementara di tempat-tempat seperti hotel dan asrama bagi memenuhi keperluan rumah perlindungan yang kian meningkat ini. Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan sektor swasta dalam menyediakan rumah perlindungan.

Keenam, kerajaan perlu memastikan bantuan kewangan sampai kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Bantuan Prihatin Nasional yang telah diumumkan baru-baru ini, sebahagian besarnya diberikan kepada isi rumah, tidak merangkumi mangsa keganasan rumah tangga yang tidak mempunyai akses kepada kewangan isi rumah atau mereka yang sedang dalam proses penceraian.

Bagi memastikan faedah-faedah ini sampai kepada mangsa keganasan rumah tangga, kami menyarankan kerajaan membenarkan pemandiri yang tidak berkelayakan untuk memohon faedah-faedah ini bersama surat sokongan daripada rumah perlindungan yang telah didaftarkan atau organisasi yang berkaitan.

Tambahan lagi, kerajaan juga harus memastikan bahawa mana-mana orang dewasa, sama ada lelaki atau perempuan, layak sebagai ‘wakil isi rumah’ untuk permohonan Bantuan Prihatin Nasional.

Enam langkah kritikal ini akan membantu memastikan para mangsa menerima bantuan yang diperlukan apabila mereka mengambil langkah berani untuk meminta bantuan.

Kepada para mangsa di luar sana, anda boleh menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau WhatsApp ke 019 261 5999. Anda juga boleh menghubungi talian Hotline 24 jam WAO di talian 03 7956 3488 atau WhatsApp ke 018 9888 058. – 14 April, 2020.

* Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sebuah yang menyediakan kaunseling, rumah perlindungan dan sokongan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen