Lelaki seludup rokok ditahan ketika Op Covid-19


TINDAKAN seorang lelaki cuba menyeludup 71 kartun rokok pelbagai jenama bernilai RM4,500 membawa padah apabila ditahan dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di susur keluar plaza Tol Alor Pongsu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki berumur lingkungan 30an itu ditahan sebaik kereta dipandu suspek melepasi susur keluar plaza tol berkenaan kira-kira 4.30 petang.

Beliau berkata semasa diperiksa oleh anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menemukan 71 kartun rokok dalam but belakang kereta jenis Nissan Sentra.

“Kita masih menyiasat di mana suspek memperoleh bekalan rokok berkenaan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di Bagan Serai hari ini.

Omar Bakhtiar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesalahan di bawah Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).– Bernama, 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen