Pelbagai cabaran dihadapi anggota polis, tentera ketika PKP 


Kalidevi Mogan Kumarappa Alfian Z.M. Tahir

Anggota polis dan tentera yang terdedah dengan jangkitan serta bahaya lain seperti dilanggar pesalah di sekatan jalan raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020

MEREKA bertugas lapan jam setiap hari di bawah terik sinaran matahari dan adakalanya dalam cuaca ribut hanya untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 

Mereka bukan doktor atau petugas kesihatan tetapi anggota polis dan tentera yang terdedah dengan jangkitan serta bahaya lain seperti dilanggar pesalah di sekatan jalan raya.

Sehingga kini, 66 anggota polis telah disahkan positif Covid-19 dengan 1,225 anggota dan keuarga mereka dikuarantin setakat 7 April.

Dengan hanya bersarung tangan dan topeng muka sebagai pelindung, mereka telah menjalankan tugas berkenaan hampir sebulan dan tiada petanda jelas bila tugas ini akan berakhir.

Malah, sekurang-kurangnya tiga anggota polis dilaporkan cedera selepas dilanggar oleh mereka yang ingkar di sekatan jalan raya dan diserang ketika pesalah ini cuba melarikan diri selepas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

The Malaysian Insight bertemu dengan beberapa anggota polis yang ditugaskan pada sekatan jalan raya untuk mengetahui lebih lanjut cabaran yang dihadapi mereka. Namun hanya anggota polis sahaja yang ditemu bual kerana anggota tentera tidak dibenarkan bercakap kepada media.  

Menurut anggota polis berkenaan, mereka turut bimbang dengan keluarga mereka di rumah, tidak tahu keadaan mereka baik atau sebaliknya, atau bimbang mereka akan membawa virus ke rumah dan menjangkiti insan yang tersayang.

Seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang enggan dinamakan berkata, apa yang beliau bimbang ialah ketika menamatkan syif dan pulang ke rumah setiap hari. 

“Sekarang pun sudah ramai keluarga anggota polis dikuarantin saya asyik terfikir adakah keluarga saya pula selepas ini,” kata bapa kepada empat cahaya mata yang bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Grand Sepadu di Shah Alam, Selangor.

“Setiap hari, kami tahan ratusan pengguna jalan raya dan walaupun kami ambil langkah keselamatan, kita tidak tahu dengan virus ini.

Pada dua minggu pertama, terdapat kekurangan bekalan topeng muka dan sarung tangan untuk petugas sekatan jalan raya. Ada yang terpaksa guna semula topeng muka dan sarung tangan sementara menunggu bekalan dari China. 

Namun kini masalah itu sudah diatasi. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, bekalan topeng muka dan sarung tangan masih cukup buat masa ini, dan menambah banyak organisasi mendermakan barangan keperluan ini kepada polis di daerahnya.

Anggota keselamatan lebih terdedah dengan risiko ketika bertugas pada waktu malam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020

“Kami amat berterima kasih kepada warga yang prihatin. Kami sangat hargai bantuan mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Inspektor Jasmin Isa dari Jabatan Logistik dan Teknologi di Seberang Perai Utara di Pulau Pinang turut menyatakan perkara yang sama. 

“Semua kelengkapan di sini mencukupi. Pada permulaan memang terdapat kebimbangan stok tidak mencukupi,” kata Jasmin.

“Ada beberapa anggota yang membeli sendiri barangan ini dan kita perlu gunakan dengan berhemah. Kita tidak mahu kehabisan bekalan. Bagaimanapun, kini semua sudah cukup.”

Seorang anggota berpangkat koperal memberitahu The Malaysian Insight, terdapat insiden yang mana banyak pengguna jalan raya memberikan topeng muka, sarung tangan dan juga bekalan makanan di sekatan jalan raya. 

“Apabila kami kekurangan bekalan, ada orang awam yang dermakan di sekatan jalan raya.

“Saya boleh katakan rakyat Malaysia pemurah dan baik hati. Kami juga menerima makanan dan minuman daripada orang awam. 

“Saya akan ingat perkara ini selama-lamanya. Walaupun kitaa berdepan pandemik dan pelbagai kerenah masyarakat, namun masih ramai yang baik dan pemurah,” tambahnya.

Bahaya yang dihadapi

“Cuaca menjadi penghalang,” kata seorang anggota berpangkat koperal di sekatan jalan raya di Shah Alam, Selangor. 

“Cuaca sangat panas pada waktu siang dan sekiranya hujan pada waktu petang, ianya sangat lebat.”

Rakan sekerjanya berpangkat lans koperal berkata, beliau lebih suka di bawah sinaran matahari berbanding hujan. 

“Kilat, guruh dengan angin yang kuat adalah lebih teruk daripada panas.

“Setiap kali kilat memancar, para anggota akan berdoa walaupun berada di bawah khemah,” kata lans koperal berusia 27 tahun itu.

Minggu lalu, seorang pegawai polis dari Serdang, Selangor mengalami patah hidung dan cedera di kepala selepas khemah yang dipasang untuk sekatan jalan raya runtuh dilanda ribut. 

Anggota polis dan tentera turut terdedah dengan bahaya lain ketika bertugas di sekatan jalan raya, terutamanya pada waktu malam. 

“Pada waktu malam, walaupun kenderaan tidak banyak, kami perlu lebih berhati-hati. Ada pengguna jalan raya terutamanya motosikal tida berhenti untuk pemeriksaan sebaliknya akan melarikan diri,” lata seorang lagi anggota berpangkat lans koperal. 

“Sekiranya tidak berhati-hati, kami boleh kena langgar. Terdapat laporan pegawai polis dilanggar pemandu yang enggan berhenti untuk diperiksa.”

Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya bagi memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020

Baru-baru ini, seorang lelaki ditahan selepas kereta yang dinaikinya bersama dua rakan merempuh sekatan jalan raya di Kilometer 13.2 MRR2 di Batu Caves, Selangor. Seorang pegawai polis cedera dalam kejadian itu. 

Minggu lalu, polis Petaling Jaya menahan seorang pemandu mabuk kerana enggan berhenti di sekatan jalan raya di Damansara. Lelaki terbabit merempuh sekatan jalan raya selepas diminta berhenti untuk pemeriksaan.

Ahad lalu, seorang warga asing bertindak menumbuk seorang pegawai polis di Presint 14, Putrajaya. Pegawai polis terbabit menghentikan seorang warga Indonesia dan ketika ditanya, warga asing terbabit bertindak menumbuk muka pegawai polis berkenaan sebelum ditahan. 

Pengguna jalan raya biadap

Pegawai yang bertugas di sekatan jalan raya Lebuhraya Persekutuan, Inspektor Mohd Al Rassid Mohd Borhanudin berkata pelbagai alasan diberikan pengguna jalan raya ketika ditahan kerana melanggar PKP.

Mohd Al Rassid memberitahu The Malaysian Insight walaupun kadar pematuhan sudah meningkat, masih ada lagi yang memberikan alasan lapuk seperti membeli makanan untuk teman wanita, pergi ke pejabat untuk ambil barang, beli ubat untuk ibu bapa tanpa preskripsi dan banyak lagi. 

“Secara keseluruhannya orang ramai sudah patuh, namun hanya peratusan kecil yang masih degil.

“Dalam setiap 20 kereta, akan ada satu pemandu yang berikan alasan sebegini.

“Ada yang memandu melebihi 10 kilometer dari Sungai Way ke Midvalley Megamall hanya untuk beli barang,” katanya. 

Pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya, Mohd Khomeini Bahar berkata berdepan pemandu biadap menguji kesabaran anggota polis dan tentera.

Anggota polis turut menjalankan rondaan bagi memastikan masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April, 2020

“Dalam satu insiden, saya tanya pemandu mengapa tiada surat pelepasan daripada majikannya. 

“Pemandu itu balas balik, dan bertanya adakah dia perlukan tandatangan Agong. 

“Provokasi dan kelakuan sebegini perlu dielakkan. Kami cuba untuk mempermudahkan semua pihak, bekerja siang dan malam bagi memastikan keselamatan umum,” kata Khomeini.

Beliau berkata, sekatan jalan raya ketika PKP adalah berbeza dengan pemeriksaan cegah jenayah.

Pegawai kanan trafik Radzli Mohamed berkata, setiap pegawai perlu bersabar ketika berdepan situasi begini. 

“Kami berdepan pelbagai kerenah dan jika kami mula berhujah ia akan jadi lebih sukar. Ia sangat memberi tekanan namun saya beri peringatan kepada mereka tak perlu untuk bertengkar.”

Setakat Ahad, 8,647 individu ditahan dengan 3,105 didenda, 503 direman manakala 51 individu didakwa di mahkamah kerana melanggar PKP yang mula dikuatkuasakan 18 Mac.

PKP dikuatkuasakan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang sehingga semalam merekodkan 4,817 kes dengan 77 kematian. Rakyat Malaysia akan berdepan PKP sehingga 28 April.– 14 April, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen