Pekerja Malaysia di Singapura tertekan


Angie Tan

Orang ramai berjalan melintasi Tambak Johor ke Pusat Pemeriksaan Woodlands sebelum perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa pada 18 Mac. – Gambar EPA, 14 April, 2020.

MASALAH kewangan dan berpisah dengan keluarga antara kebimbangan yang dihadapi rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura apabila republik itu menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan selama sebulan bermula 7 April.

Langkah “pemutus litar” Singapura hingga 4 Mei itu bagi menghentikan rangkaian jangkitan Covid-19 yang memberi kesan kepada kira-kira 45,000 rakyat Malaysia yang masih berada di republik itu.

Ivan Yap, 38, yang bekerja membaik pulih sistem paip di hospital berkata dia sudah disediakan penginapan di sebuah hotel berhampiran tempat kerjanya.

“Saya akan dipanggil bekerja bila-bila masa apabila hospital memerlukan saya. Malah pada waktu malam pekerja asing seperti saya perlu bekerja lebih masa jika keperluan mendesak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun penginapan hotel yang disediakan hanya sehingga esok apabila fasa kedua perintah kawalan pergerakan Malaysia (PKP) pada asalnya dijadualkan berakhir.

Penginapan itu disediakan oleh majikan Singapura untuk pekerja Malaysia selepas Putrajaya mengumumkan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac.

Tetapi pada Jumaat lepas Malaysia menyambung semula PKP sehingga 28 April.

Yap kini bimbang di mana dia perlu mencari tempat tinggal di republik berkenaan.

“Sebuah bilik berharga antara SGD600 higga SGD800 (RM1,800 hingga RM2,400).

“Ini akan menjadi beban kewangan saya. Saya cuba mencari rakan untuk berkongsi bilik untuk jimatkan bayaran sewa,” katanya.

Isteri dan anak Yap tinggal di Johor di mana mereka berpindah sedekad lalu dari kampung halaman di Sarawak.

Dia keluar dari Johor pada 17 Mac, sehari sebelum PKP di Malaysia bermula dan tidak pernah berjumpa keluarganya sejak itu.

Dia mahu pulang ke Malaysia selepas Singapura menguatkuasakan langkah pemutus litar, namun isterinya merasakan tidak perlu kerana bimbang risiko yang akan berlaku.

“Saya bimbang jika Singapura menyambung langkah pemutus litar. Saya akan terpisah dengan keluarga lebih lama lagi.

“Saya juga bimbang dengan keadaan keluarga saya. Tetapi pada masa ini lebih baik saya terus tinggal dan bekerja di sini kerana segala-galanya tidak pasti pasti selepas ini.

“Kami tidak tahu jika ada potongan gaji. Sekarang saya perlu bertahan,” katanya.

Rakyat Singapura yang memakai topeng muka membeli barangan keperluan di sekitar Little India, Singapura. – Gambar EPA, 14 April, 2020.

Yap menambah terdapat lebih ramai orang dalam keadaan yang lebih teruk terutama mereka yang bekerja sementara yang kini tidak mempunyai pendapatan tetapi tidak dapat pulang ke Malaysia.

Auditor Adelyn Huang juga berasa tertekan tinggal di Singapura untuk memastikan dia tidak hilang pekerjaan.  

Wanita berusia 27 tahun itu berkata dia bersyukur dapat bekerja dari rumah kerana apa yang diperlukan hanya komputer dan akses internet.

“Saya bernasib baik kerana gaji saya tidak dipotong tetapi saya berharap pandemik ini akan berakhir dengan cepat dan keadaan dapat kembali normal,” kata penduduk Kota Tinggi, Johor ini.

Kali terakhir dia berjumpa keluarganya pada Tahun Baharu Cina Januari lalu sebelum koronavirus mula tersebar dengan cepat dari China ke beberapa wilayahnya.

“Saya juga tidak mahu mengambil risiko yang saya mungkin terdedah dengan virus itu dan saya tidak mahu membawanya kepada keluarga saya,” katanya.

Dia bersyukur kerana walaupun perlu keluar membeli makanan namun kadang kala pemilik rumah sewanya akan menghantar makanan kepadanya.

Kontraktor pengubahsuaian rumah Brandon Bok, 45, keluar dari Singapura pulang ke kampung halamannya di Johor Bharu sebelum negara itu memulakan perintah pergerakan terhad.

Bok yang sudah bekerja di republik itu selama 20 tahun berkata tidak ada alasan untuk terus bekerja kerana tidak ada peluang dalam bidang perniagaan.

“Saya juga kadang-kadang tidak pulang ke rumah, jadi saya mengambil kesempatan ini.

“Ia berisiko untuk keselamatan kerja saya. Sekarang saya rasa keluarga lebih penting,” katanya sambil menambah dia mempunyai duit simpanan mencukupi untuk menanggung kehidupan buat seketika.

Kebiasaannya lebih 300,000 rakyat Malaysia yang tinggal di Johor berulang alik setiap hari untuk bekerja di bandar.

Dengan perintah pengurungan sebahagian yang dikuatkuasa Singapura, Putrajaya meminta republik itu memberikan data mengenai jumlah pekerja Malaysia di sana supaya kerajaan dapat bersedia untuk ujian Covid-19 dan kawalan orang ramai sekiranya mereka melintasi sempadan untuk pulang.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan jurucakap Majlis Keselamatan Negara menasihatkan kira-kira 45,000 pekerja Malaysia yang masih berada di republik itu untuk terus berada di sana selagi boleh.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad juga memberitahu pekerja Malaysia mereka mesti menjalani pemeriksaan dan kuarantin sendiri selama 14 hari selepas kembali dari Singapura.

Sehingga semalam Singapura mencatatkan 2,532 jangkitan Covid-19 dengan lapan kematian serta 560 pesakit pulih.

Sementara itu Malaysia merekodkan 4,817 jangkitan, 77 kematian dan 2,276 pesakit pulih setakat semalam. – 14 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen