.jpg)
Di sebalik pemakaian topeng bagi menghindari daripada dijangkiti Covid-19 ada tangan halimunan sedang bergerak melakarkan pemantapan politik.
Pada waktu rakyat dan negara lemah, dengan berselindung wajah di sebalik topeng, rantaian dan rangkaian kekuatan sedang dibina.
Ketika mereka di barisan hadapan bertungkus lumus bekerja siang dan malam mempertahan tubuh negara daripada digeroti dan disarati virus Covid-19, barisan hadapan politik mempersiapkan diri berhadapan era selepas Covid-19.
Kalau petugas di barisan hadapan letih dan kepenatan, petugas politik adalah sebaliknya. Mereka tidak pernah penat dan keletihan, politik tidak pernah tidur dan kenal erti keletihan kerana yang menggerakkannya adalah kuasa .
Lihatlah saja apa yang saya maksudkan di atas. Di tengah-tengah menunggu berita jumlah jangkitan dan kes pesakit yang meninggal, pertandingan merebut kerusi presiden Bersatu terus bergelora dengan pertandingan satu lawan satu antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pencabarnya Mukhriz Mahathir.
Bahkan pertandingan merebut kerusi timbalan presiden Bersatu juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas setiausaha agung Marzuki Yahaya dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.
Di tengah kegelisahan PKP batasan pergerakan bagi rakyat Malaysia, Zakri Khir meletak jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Memetik sumber, Focus Malaysia melaporkan teknokrat itu akan diganti oleh ahli parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh. Beliau adalah dari Bersatu. Peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Di sebalik siri perutusan rangsangan ekonomi dan lanjutan PKP yang disampaikan perdana menteri, beliau memperkukuhkan dirinya dengan melantik lebih ramai ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Betapa pantasnya virus Covid-19 begitulah juga pantas percaturan politik dan pengukuhan kuasa.
Sejak sebulan sejak PN mengambil alih kuasa, skala serta skop perubahan dalam kalangan pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan cukup pantas.
Bekas menteri Rafidah Aziz menyatakan kekecewaannya dengan tindakan kerajaan PN untuk melantik ahli-ahli parlimen mengetuai GLC.
Beliau berkata “sesetengah orang” yang mentadbir negara seharusnya kembali kepada asas-asas pentadbiran untuk mencapai aspirasi bangsa dan rakyat.
“Bukan hanya dengan melantik individu ke mana-mana jawatan kosong, dikosongkan, atau jawatan yang diwujudkan.
“Tetapi untuk mentadbir berpandukan integriti, kejujuran, tanggungjawab, akauntabiliti, dan kerja berpasukan, tidak dipandu oleh cita-cita dan matlamat peribadi untuk menjejaskan negara,” kata Rafidah dalam kiriman Facebooknya.
Bayangkan ini memandangkan lantikan ini dibuat PN yang diketuai oleh perdana menteri dan menteri-menteri kanan yang sebelum ini berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Sebelum pilihan raya lepas, PH di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, berjanji untuk mereformasikan GLC.
Ini penting kerana ketika era Najib Razak, penumpukan kuasa politik dan korporat di tangan perdana menteri yang menjadi menteri kewangan itu didakwa menyumbang kepada penyalahgunaan kritikal ke atas institusi berasaskan perniagaan, termasuk 1MDB, Tabung Haji dan Mara.
Namun dalam batasan PKP, apa yang dilakukan Muhyiddin dengan melantik ahli politik menjadi pengerusi GLC adalah sangat besar dan ia sebagai jalan mendapat sokongan kepada PM daripada wakil rakyat yang tidak berpuas hati kerana tidak dilantik ke dalam jemaah menteri.
Di sebalik topeng Covid-19, di samping masalah jangkitan dan ekonomi, berlaku persaingan jawatan dan sikap berpuak dalam Bersatu yang lebih memburukkan masalah Muhyiddin dalam pemilihan Bersatu yang datang.
Dr Mahathir masih kekal sebagai pengerusi Bersatu, manakala jawatan presiden Bersatu yang dipegang Muhyiddin akan dicabar oleh Mukhriz yang berpengaruh.
Di luar Bersatu, sejauh manakah Muhyiddin mendapat mempunyai sokongan padu Umno, dengan kritikan terbuka terhadap pelantikan jawatan menteri yang dibuat beliau.
GLC, yang ditubuhkan untuk membetulkan ketidakadilan sosial, telah menjadi alat politik penting golongan elit yang berkuasa untuk mengukuhkan kepentingan politik mereka.
GLC akan digunakan untuk menjamin pertukaran sokongan wakil rakyat PH untuk mengukuhkan kawalan PN di parlimen.
Di sebalik topeng Covid-19, pihak kerajaan sedang berusaha keras untuk memastikan semua ahli parlimen yang bersama PN mendapat balasan jawatan sewajarnya dan ini juga melalui perlantikan ke jawatan pengerusi GLC.
Ini dilakukan supaya untuk kekal menjadi kerajaan, PN perlu ada 112 ahli parlimen.
Buat masa sekarang 72 ahli parlimen telah dapat jawatan. Oleh itu hanya tinggal 40 ahli parlimen saja lagi yang perlu dilantik.
Adakah mereka akan diberikan jawatan duta bertaraf menteri atau dilantik menjadi penasihat bertaraf menteri?
Ini sebagai persediaan memasuki sidang parlimen bulan Mei nanti. PN bimbang kalau berhadapan dengan undi tidak percaya daripada pembangkang yang diketuai oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Apa lagi percaturan politik yang akan dilakukan di sebalik topeng Covid-19? – 13 April, 2020.
* Ismail Hashim Yahaya merupakan seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen