Khairy kritik kenyataan PM Singapura mengenai Pulau Batu Puteh


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata dakwaan yang dikeluarkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2017.

KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyelar tindakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang mengaitkan pilihan raya umum Malaysia akan datang dengan permohonan semakan keputusan mahkamah antarabangsa yang menganugerahkan Pulau Batu Puteh ke Singapura.

Khairy berkata komen Lee, yang dibuat pada majlis Anugerah dan Konvensyen PAP pada Ahad lalu, adalah tuduhan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

“Memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti mana yang dibuat Lee dalam konvensyen PAP. Namun, tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa,” kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini yang disiarkan di akaun Twitter peribadinya.

Lee mempersoalkan motif Malaysia permohonan semakan penghakiman pada 2008 kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung pulau yang dipertikaikan itu yang dikenali sebagai Pedra Blanca, dan Tubir Selatan oleh Singapura.

Lee dilaporkan berkata permohonan Malaysia baru-baru ini “mungkin ada kaitan” dengan Pilihan Raya Umum ke-14, yang mesti diadakan pada Ogos tahun depan.

Malaysia memfailkan permohonan tersebut pada Februari selepas penemuan fakta baru dalam tiga dokumen di Arkib Negara UK pada Ogos tahun lepas.

Permohonan kedua untuk tafsiran keputusan mahkamah antarabangsa difailkan awal tahun ini pada 30 Jun.

Khairy berkata ia adalah hak Malaysia untuk berbuat demikian.

“Permohonan ini dan permohonan kedua yang dibuat pada 30 Jun 2017 untuk pentafsiran penghakiman bukan dibuat secara sambil lewa tanpa asas yang kukuh,” kata Khairy, yang juga menteri belia dan sukan.

“Untuk makluman Perdana Menteri Lee Hsien Loong, semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, pilihan raya Malaysia masih belum diumumkan.

“Sebagai peringatan, Parlimen Malaysia tidak dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh sejak penemuan fakta baru tersebut,” katanya. – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen