Tiada kompromi untuk mereka yang keluar selepas jam 8 malam, kata polis


Ketua Polis Terengganu Roslee Chik berkata pihak polis tidak lagi akan berkompromi dengan mereka yang keluar selepas jam 8 malam tanpa alasan kukuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2020.

POLIS tidak akan berkompromi, sebaliknya akan menahan sesiapa sahaja yang didapati keluar selepas 8 malam tanpa alasan yang kukuh, kata Ketua Polis Terengganu Roslee Chik.

Beliau berkata tindakan tegas itu terpaksa diambil bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat supaya penularan Covid-19 dapat dikekang.

“Kalau siang keluar rumah kami boleh pertimbangkan lagi untuk beli barangan keperluan dan sebagainya tetapi keluar waktu malam untuk apa? Kedai-kedai pun tutup.

“Tetapi sekiranya kecemasan seperti hendak pergi ke hospital, itu kita beri kebenaran. Kalau tiada alasan kukuh kita akan terus tangkap. Tiada lagi alasan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 50 kaki payung bagi kegunaan sekatan jalan raya oleh ExxonMobil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Roslee berkata bilangan kenderaan di jalan raya menunjukkan peningkatan iaitu kira-kira 9,000 semalam berbanding 5,000 hingga 6,000 pada hari-hari sebelum ini.

“Apabila ditanya mereka beri alasan seperti beli makanan dan berurusan di bank jadi kami tiada alasan untuk halang mereka… saya merayu kepada orang ramai supaya bersikap jujur, janganlah keluar rumah sehari sampai dua atau tiga kali. Kalau tidak betul-betul perlu janganlah keluar dari rumah,” katanya.– Bernama, 13 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen