Saya hanya bincang kebajikan rumah panjang bukan projek Taman Rimba, kata menteri


Noel Achariam

Projek Taman Rimba Kiara jadi medan rebutan penduduk rumah panjang yang mahukan rumah sendiri dan penduduk TTDI yang mahu kawasan hijau itu dikekalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2020.

MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata beliau hanya bercakap soal kebajikan dengan penduduk rumah panjang Taman Tun Dr Ismail pada pertemuan baru-baru ini dan tidak melibatkan langsung projek Taman Rimba.

Annuar berkata beliau hanya mengulangi janji Yayasan Wilayah Persekutuan untuk terus komited menyediakan rumah tetap kepada penduduk rumah panjang yang sudah lama menetap di kawasan itu.

“Ada orang kata hanya kerana kita mahu beri mereka (penduduk rumah panjang) rumah, ia subjudis.

“Subjudis adalah apabila kita mempertikaikan merit dan demerit kes atau perkara tertentu yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Cuba pengaruhi keputusan mahkamah, itu subjudis. Saya tak buat begitu. Saya faham apa itu subjudis,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahad lepas, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDIRA) berkata kenyataan Annuar untuk meneruskan pembangunan Taman Rimba Kiara adalah subjudis kerana kes itu masih menunggu bicara di Mahkamah Rayuan.

TTDIRA merayu keputusan mahkamah sebelum ini yang menolak permohonannya untuk melakukan semakan kehakiman terhadap kelulusan projek pembangunan itu.

Projek yang terdiri daripada sembilan blok apartmen itu adalah kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd.

Persatuan penduduk mendakwa kenyataan Annuar tentang projek pembangunan Taman Rimba Kiara itu yang mendapat liputan penuh media boleh dianggap subjudis.

Annuar berkata kes itu sedang dibicarakan di mahkamah dan pihaknya akan patuh kepada apa sahaja keputusan.

“Kita tak boleh bincang butiran kes. Biar proses mahkamah berjalan. Jadi, bila mahkamah buat keputusan, kita akan ikut,” katanya. – 13 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen