CHARLES Manson yang menjadi dalang pembunuhan kejam di Amerika Syarikat yang pernah menggemparkan dunia, mati pada usia 83 tahun, lapor media AS dan kenyataan penjara California pada Ahad.
Manson dilaporkan mati kerana sakit di sebuah hospital di Kern County, kata Jabatan Penjara dan Pemulihan California dalam satu kenyataan ringkas.
Debra Tate yang merupakan adik kepada salah seorang mangsa Manson, Sharon Tate memberitahu TMZ, dia menerima panggilan telefon daripada pegawai penjara yang menyatakan Manson yang sejak sekian lama jatuh sakit, meninggal dunia pada petang Ahad.
Pada lewat 1960an, Manson mengetuai satu kumpulan kultus yang menjalankan kegiatan pembunuhan rambang di kejiranan masyarakat kulit putih di Los Angeles.
Kegiatan pembunuhan oleh kumpulan terbabit mencetuskan situasi panik di seluruh bandaraya itu dan sekitarnya.
Tujuan utama pembunuhan itu adalah bagi meletakkan kesalahan kepada warga Amerika berketurunan Afrika, dengan harapan ia akan mencetuskan peperangan antara kaum.
Pengikutnya telah melakukan sekurang-kurangnya 9 pembunuhan, namun pembunuhan paling kejam adalah membabitkan tujuh mangsa pada 9-10 Ogos 1969 sekaligus mendedahkan kegiatan Manson dan kumpulan yang diketuainya menyebabkan dia dipenjara seumur hidup.
Mangsanya yang paling terkenal adalah aktres berusia 26 tahun, Sharon Tate yang sedang sarat mengandung yang juga merupakan isteri kepada pengarah terkenal Roman Polanski, ditikam sehingga mati.
Manson tiada ketika pembunuhan itu namun dia merupakan dalang yang mengarahkan pembunuhan itu dilakukan.
Salah seorang pengikutnya, Susan Atkins, menjalankan tugas untuk membunuh Tate. – AFP, 20 November, 2017.
Komen