SURUHANJAYA Perdagangan Antarabangsa (ITC) Amerika Syarikat dijangka mengumumkan satu cadangan terperinci untuk mengenakan halangan perdagangan ke atas mesin basuh Korea Selatan minggu ini, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pegawai kerajaan pada Isnin.
Bulan lepas, ITC Amerika Syarikat (AS) memutuskan bahawa produk keluaran Samsung Electronics Co dan LG Electronics Inc telah mendatangkan kesan buruk terhadap syarikat domestik.
Pengumuman itu dibuat selepas satu petisyen perlindungan dikemukakan oleh syarikat Whirlpool Corp yang berpangkalan di AS.
Whirlpool dikatakan telah mendesak ITC agar mengenakan tarif sebanyak 50% ke atas perkakasan rumah buatan Korea Selatan, beserta kuota terhadap bahagian-bahagian yang turut diimport.
Menurut pegawai Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan, menerusi cadangan terperinci yang bakal dikeluarkan pada Selasa (waktu AS) itu, ITC meminta Washington mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi pasaran mesin basuh tempatan yang terjejas berikutan peningkatan import dari syarikat-syarikat Korea Selatan.
Kementerian Perdagangan Korea Selatan kini mencari pelbagai cara untuk menangani tindakan AS itu, termasuk membawa kes tersebut ke Pertubuhan Perdagangan Sedunia. – Bernama, 20 November, 2017.
Komen