CHINA telah mencadangkan pembinaan sebuah koridor ekonomi dengan Myanmar untuk terus mempertingkat perkongsian kerjasama strategik komprehensif dua hala, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menteri Luar China, Wang Yi, berkata demikian pada sidang akhbar bersama dengan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, selepas rundingan terbaharu mereka di sini pada Ahad.
Kedua-dua pihak berikrar untuk mempromosi hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama pragmatik China-Myanmar.
Wang berkata koridor ekonomi itu, yang mengambil kira pembangunan nasional serta keperluan sebenar Myanmar, akan bermula dari wilayah Yunnan di China dan menghubungkan bandar Mandalay di wilayah tengah Myanmar, sebelum dipanjangkan ke bandar baharu Yangon dan zon ekonomi khas Kyaukpyu, sekali gus membentuk corak kerjasama tiga tonggak.
Beliau berkata ini seharusnya merangsang kesalinghubungan antara projek besar sepanjang laluan terbabit dan pada masa sama, memarakkan lagi pembangunan di Myanmar.
Suu Kyi pula berkata cadangan itu sesuai dengan pelan pembangunan nasional Myanmar serta berharap kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam bidang utama di Myanmar, termasuk pengangkutan dan elektrik. – Bernama, 20 November, 2017.
Komen