.jpg)
PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kita akan memasuki fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April.
Ini bermakna kita akan menyambut Ramadan dalam suasana PKP tanpa bazar Ramadan seperti kebiasaannya.
Kita telah merasai PKP fasa pertama dan kedua untuk tempoh selama satu bulan. Banyak pengalaman baharu dan cara kehidupan kita juga telah banyak berubah.
Mahu tidak mahu, kita sebenarnya telah memasuki kebiasaan baharu (a new norm) dalam menghadapi kehidupan dan amalan seharian.
Sepanjang tempoh PKP ini juga, kita dapat merasakan betapa bekalan makanan sama ada makanan segar atau yang telah diproses menjadi amat penting dan mesti segera dimiliki.
Sebaik sahaja berita mengenai PKP dihidu umum, bekalan makanan dan keperluan asas telah habis terjual.
Pasar raya dan kedai jualan keperluan harian menjadi tempat tumpuan. Pembeli-pembeli beratur panjang bagi mendapatkan barang makanan seperti roti, beras, telor, ayam, daging, sayur-sayuran dan sebagainya.
Rak-rak makanan menjadi lengang. Bukan sahaja barangan segar yang habis, makanan di dalam tin, makanan siap diproses serta makanan sejuk beku (frozen food) juga habis.
Tetapi kira-kira dua minggu selepas, terdapat berita di beberapa kawasan seperti di Kundasang, Cameron Hinglands, di Kelantan dan di Sarawak dan beberapa kawasan lain tentang pengusaha tanaman terpaksa membuang hasil tanaman mereka berikutan masalah pengangkutan untuk membawa hasil tanaman mereka ke pasar borong dan seterusnya diedarkan kepada pengguna.
Seorang penanam sayur di Kelantan, mengalami kerugian besar kerana terpaksa membuang kira-kira 50 tan pelbagai jenis sayur-sayuran begitu sahaja.
Terdapat juga kebun-kebun sayur terpaksa membiarkan tanaman mereka tanpa penjagaan sempurna berikutan ketiadaan pekerja kerana halangan PKP.
Jualan dalam talian
Tidak lama selepas berita mengenai pembuangan sayur-sayuran itu, syarikat jualan dalam talian Lazada tampil untuk mengedarkan keluaran pertanian petani-petani di Cameron Highlands.
Selang beberapa hari selepas itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Fama dan lain-lain agensi berkaitan pertanian telah menyesuaikan kebiasaan lama dalam memasarkan hasil-hasil tanaman pengusaha pertanian kepada cara yang dulunya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.
Agensi-agensi tersebut telah mengaktifkan jualan secara dalam talian mereka dan pembeli boleh mendapatkan hasil belian mereka sama ada dihantar ke rumah atau mengambil sendiri melalui konsep pandu lalu.
Hasil daripada inisiatif ini, jualan mereka meningkat lebih sekali ganda berbanding jualan dan pengedaran secara biasa.
Pengguna pula mendapat produk segar dengan harga yang berpatutan dan tanpa perlu beratur di pasar raya.
Di taman perumahan, masjid, surau, koperasi dan pengusaha individu juga mengambil inisiatif baharu untuk memasarkan hasil tanaman mereka atau kenalan mereka dengan membuat jualan melalui dalam talian dengan menghantar sendiri ke rumah-rumah pelanggan ataupun menggunakan penghantar.
Peniaga peniaga kecil yang dulunya berniaga di pasar tani atau pasar malam menukar strategi jualan mereka dengan membuat jualan secara dalam talian dan mengedarkannya secara pandu lalu atau hantaran ke rumah.
Sekatan eksport
Di luar negara pula, berikutan kebimbangan penularan Covid-19 dan keadaan cuaca yang mengancam tanaman pertanian mereka, beberapa negara telah menyekat eksport makanan terutama makanan ruji daripada terus mengalir keluar negara.
Sebagai contoh, Vietnam menyekat beras daripada dieksport ke mana-mana negara. India pula menyekat eksport bawang.
Sementara itu, negara pembeli pula mengenakan pemeriksaan yang ketat bagi kemasukan produk makanan ke dalam negara kerana bimbang penularan virus Covid-19.
Melihat apa yang sedang berlaku ke atas industri pertanian dan pemakanan semasa, adalah dijangkakan pertanian pasca Covid-19 negara akan mengalami kebiasaan baharu seperti berikut:
i. Malaysia tidak akan dapat lagi bergantung kepada import makanan bagi keperluan penduduk.
Pengeluaran makanan harus diperolehi dari dalam negara. Peluang untuk negara mengimport bahan makanan akan menjadi semakin sukar dan cuma boleh diperolehi apabila berlaku lambakan pengeluaran di negara pengguna.
ii. Perniagaan secara dalam talian dan hantaran terus ke rumah serta konsep pandu lalu akan menjadi kebiasaan yang biasa.
Kebiasaan ini akan memberi kesan besar kepada pasar tradisional. Besar kemungkinan pasar tradisional atau pasar malam terutamanya di bandar besar atau kawasan perumahan akan pupus.
iii. Pertanian yang berkonsepkan pertanian moden (modern farming) dan tanaman organic akan menggantikan tanaman secara tradisional.
Urban farming juga akan lebih meluas diusahakan di kawasan perumahan, di kawasan bandar ataupun kawasan yang berhampiran dengan pengguna.
Penggunaan teknologi 5G akan menguasai aktiviti pertanian seperti menabur baja, menyiram air, meracun dan sebagainya akan dikawal menerusi telefon pintar atau monitor dari rumah sahaja.
iv. Tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah akan menghadapi saingan harga yang sengit.
Ini berikutan adanya sekatan dari negara pengguna dan saingan dari pengeluar minyak kacang soya, minyak jagung dan sebagainya.
Industri ini juga akan menghadapi kesukaran untuk membawa masuk tenaga kerja dari luar.
Harga petrol yang rendah juga akan turut memberi kesan negatif ke atas kedua-dua komoditi ini.
Ini akan menjadikan pengusaha tanaman sawit dan getah sekarang menukar tanaman mereka kepada tanaman lain seperti durian, nanas, kelapa dan sebagainya.
Kemungkinan besar tanaman sawit dan getah hanya akan ditanam oleh syarikat-syarikat korporat besar.
Syarikat korporat ini akan mempertingkatkan aktiviti memproses produk mereka kepada barangan kepenggunaan atau jika mereka tidak berbuat demikian, maka mereka perlu mencari tanaman baru yang sesuai atau keluar dari industri ini.
v. Tanaman makanan terutamanya padi akan mendapat bantuan dan subsidi dari kerajaan bagi mempastikan bekalan makanan ruji negara terjamin.Tanaman padi juga akan ditanam secara moden, tidak lagi seperti sekarang. Kemungkinan ada tanaman baru ditanam sebagai alternatif kepada padi seperti gandum, jagung, keledek dan tanaman yang menitik beratkan nutrisi dan kesihatan.Semua tanaman ini nanti akan boleh ditanam dengan sistem pengendalian terlindung.
vi. Pengeluaran makanan yang siap diproses seperti makanan dalam tin, makanan sejuk beku (frozen food), makanan RTE (ready to eat) akan berkembang berikutan permintaan yang tinggi. Pengusaha pertanian akan mempunyai teknologi dan kemudahan pembungkusan ditempat mereka sendiri.
vii. Pasar-pasar basah seperti pasar borong di Selayang, Pasar Chow Kit, Pasar Pudu serta pasar malam dan pasar tani akan pupus. Ini kerana pengguna tidak lagi mahu mengambil risiko pergi ke pasar basah seperti yang berlaku di Wuhan. Peniaga di pasar borong hanya akan berurusan dengan pasa rraya besar dan pelanggan tetap sahaja.
Dengan kebiasaan baharu dalam industri pertanian ini, pengguna dijangka akan mendapat faedah yang lebih baik terutama dari segi harga makanan, kualiti dan servis yang baik.
Ia turut akan dapat mengurangkan peranan orang tengah dan mengawal tindakan-tindakan kartel didalam pasaran tradisional sekarang.
Adalah diharapkan pengusaha-pengusaha pertanian, agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Asas Tani, MPOB, MRB, Felda, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan yang penting sekali pengguna, akan bersedia dengan kebiasaan baharu ini.
Covid-19 sebenarnya telah berjaya menyedarkan kita bahawa betapa pentingnya kita menjaga dan memodenkan industri pertanian ini dan betapa perlunya kita memperkasakan keselamatan makanan negara. – 12 April, 2020.
* Zakaria Arshad, Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda dan bekas CEO FGV.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen