Barisan hadapan dan barisan pertahanan ketiga yang 'dilupakan'


TIDAK seperti pandemik Covid-19 yang memberi kesan sama yang buruk terhadap semua jenis perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, tidak memberi impak yang sama terhadap semua perniagaan.

Sebagai permulaan, perniagaan yang kurang penting perlu menutup kedai sepanjang tempoh PKP dan jelas mendapat pendapatan sifar bagi mereka sepanjang tempoh ini berlangsung.

Manakala, perniagaan yang dikategorikan sebagai khidmat penting masih boleh beroperasi walaupun kurang pelanggan disebabkan oleh langkah penjarakan sosial dan waktu perniagaan disingkatkan kerana PKP ini.

Pendapatan mereka, walaupun berkurangan, tetapi tidak akan menjadi sifar sepanjang tempoh PKP ini. Sebagai contoh, kedai runcit atau kedai serbaneka di kawasan kejiranan anda – orang ramai masih boleh pergi ke kedai mereka untuk membeli keperluan asas pada masa yang dibenarkan.

Namun, satu kategori perniagaan penting yang tidak menikmati “kemewahan” pendapatan kurang sifar ini ialah industri  pengawal keselamatan swasta.

Mereka dianggap sebagai barisan hadapan dan boleh dilihat di mana-mana tempat kerana pengawal keselamatan swasta memainkan peranan penting dan genting dalam menjaga sekolah, hospital, kediaman persendirian, bangunan swasta dan kerajaan untuk memastikan keamanan dan keselamatan di tempat-tempat tersebut.

Selain itu, semasa pandemik, mereka ini merupakan barisan pertahanan yang pertama dalam menyaring pengunjung sesebuah bangunan dengan memeriksa suhu badan. Di pasar raya dan kedai runcit, mereka juga yang menguatkuasakan penjarakan sosial dan memastikan penggunaan pembersih tangan (hand sanitizer) kepada semua pelanggan.

Dalam menjalankan tugasan ini, mereka juga menghadapi risiko terdedah kepada virus yang tidak kelihatan, boleh membawa maut dan yang berjangkit ini sama seperti kakitangan kesihatan barisan hadapan di hospital dan klinik.

Dan untuk menekankan aspek lain betapa pentingnya industri ini, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Ramli Yusuf mengatakan, dalam soal keselamatan negara seperti Darurat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh memanggil dan mengerahkan semua pengawal keselamatan mereka.

Ini kerana industri itu dianggap barisan pertahanan ketiga selepas polis dan angkatan tentera.

Dengan sekitar 902 syarikat sebagai ahli, persatuan itu mempunyai kira-kira 150,000 pengawal keselamatan tempatan dan 30,000 pengawal dari Nepal – termasuk pengawal bersenjata dan pengawal peribadi – untuk memastikan keselamatan asas di pelbagai tempat, dan kemudian bekerjasama dengan polis sekiranya keselamatan asas itu dilanggar oleh mana-mana pihak.

Seperti kakitangan kesihatan di barisan hadapan, persatuan itu juga mengalami kekurangan yang amat ketara topeng muka, pencuci tangan dan sarung tangan untuk dibekalkan kepada pengawal mereka. 

Persoalannya kini ialah sebagai barisan hadapan dan industri perkhidmatan penting, mengapa mereka tidak memperolehi pulangan atau pendapatan semasa PKP?

Jawapan yang diberikan oleh Ramli ialah majoriti ahli PIKM mempunyai klien dari kategori perkhidmatan kurang penting, dan oleh kerana klien mereka berhadapan dengan situasi kewangan yang tidak menentu, klien mereka tidak dapat membayar perkhidmatan pengawal keselamatan yang diupah mereka.

“Walaupun industri kami merupakan perkhidmatan penting, akhirnya kami sama seperti yang kurang penting dengan mengalami pendapatan sifar semasa PKP,” keluh Ramli.

Beliau mengharapkan kerajaan, dalam pengumuman rangsangan kewangan untuk PKS, mewajibkan para PKS, setelah menerima bantuan kewangan, segera membayar bil perkhidmatan keselamatan mereka kepada ahli PIKM yang telah menyediakan perkhidmatan mereka semasa PKP.

“Atau lebih baik lagi, bahagian yang perlu dibayar boleh diberikan secara terus kepada kami dan kami akan mengedarkannya kepada semua anggota yang terjejas,” tambah beliau.

Pasca PKP, persatuan itu merayu kepada kerajaan untuk membekukan keperluan upah minimum bagi industri mereka kerana ia menjejas keuntungan mereka.

Pada 2019, gaji minimum ditetapkan pada paras RM1,100 tetapi telah dinaikkan pada tahun ini kepada RM1,200 di 57 bandar utama. Dengan kenaikan itu, seorang pengawal tempatan menelan kos hampir RM2,600 termasuk upah kerja lebih masa, KWSP, Perkeso, jika mereka bekerja 26 hari, selama 12 jam sehari.

“Kami meminta kerajaan membekukan upah minimum kerana klien kami tidak bersedia dengan kadar sekarang. Oleh itu, keuntungan kami dikurangkan sebanyak RM200 hingga RM300 bagi setiap pengawal. Selepas PKP, kami berharap kerajaan tidak akan menaikkan upah minimum selama tiga tahun jika tidak, ini akan memusnahkan industri kami,” jelas Ramli.

Sebagai perbandingan, dengan kelayakan minimum PMR atau SPM untuk bekerja, mendapat RM2,600 memang tidak sepadan dengan graduan baru seperti pembantu undang-undang yang memperoleh gaji RM2,700.

Pasca PKP adalah masa untuk kerajaan membantu industri yang berhadapan dengan masalah aliran tunai dengan menyediakan geran latihan dan membekukan upah minimum.

Banyak negara termasuk Australia dan UK sedang bergerak ke arah pembekuan gaji minimum dalam membantu para peniaga mengatasi pasca perintah berkurung. – 12 April, 2020.

* Jamari Mohtar, Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen