DAP, Bersatu punca pendaftaran Pakatan lewat


Ikhwan Zulkaflee

Dr Mahathir Mohamad mengetuai delegasi Pakatan Harapan untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 November, 2017.

KELEWATAN pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti politik disebabkan masalah yang dihadapi parti komponen DAP dan Bersatu, menurut pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mesej itu disampaikan kepada delegasi PH yan ke KDN untuk berjumpa Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan penjelasan mengenai kelewatan itu.

Bagaimanapun, Zahid tidak berada di pejabatnya kerana bertemu Perdana Menteri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri.

“Kami tidak dapat bertemu dengan menteri, walaupun kementerian tahu mengenai situasi hari ini yang semua presiden parti komponen PH akan datang tetapi menteri mempunyai perkara lain untuk dihadiri,” kata Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad kepada wartawan di Putrajaya, hari ini.

“Kami diberitahu menteri yang bertanggungjawab bertemu perdana menteri. Sudah tentu itu lebih penting daripada permohonan PH.

“Mereka (pegawai KDN) menyatakan sebab yang mereka lambat beritahu (beri maklum balas berhubung pendaftaran PH) ialah kerana ada masalah dengan PPBM dan DAP.”

Dr Mahathir berkata mereka dapat bertemu setiausaha agung dan memaklumkannya tentang isu itu.

“Mereka mendengar keraguan kami dan kami mahu gabungan itu diluluskan secepat mungkin.

“Kerana kita memerlukan masa yang mencukupi untuk mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum dan tempoh dua minggu tidak cukup untuk kami membuat persiapan.

“Jadi, dia memahami kami dan memberitahu sebab kelewatan itu kerana ada masalah dengan Bersatu dan DAP. Jika mereka memberitahu kami mengenai masalah ini lebih awal, kami dapat menanganinya lebih awal,” kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai masalah yang dihadapi DAP dan Bersatu serta menegaskan PH tidak mempunyai niat untuk menentang kerajaan.

“Kami tidak akan bertemu lagi dengan RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) kerana sudah sedia maklum (mengenai masalah) dan akan mengambil tindakan terhadap isu itu.”

Turut hadir ke KDN sebentar tadi ialah Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR; Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai. Delegasi tersebut masuk ke pejabat KDN sekitar jam 10.47 pagi.

Masalah melibatkan DAP dan Bersatu dipercayai merujuk kepada kemelut dalaman kedua-duanya.

Pada 12 November, DAP akhirnya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ekoran CEC sebelum ini dianggap tidak sah oleh RoS.

Bersatu pula didakwa melanggar perlembagaan parti kerana gagal mengadakan mesyuarat agung dan juga berhubung status nama sayap Pemuda dan wanitanya.

Sementara itu, berhubung pemilihan CEC baharu DAP, Tan berkata ia akan meminta firma audit bebas yang mengendalikan pemilihan semula CEC untuk menyegerakan laporan audit untuk diserahkan kepada RoS.

Menurut Tan, DAP tidak mahu pendaftaran PH terus dilengahkan.

“Parti saya akan minta firma audit untuk menyegerakan semua laporan dan hantar kepada RoS dengan kadar segera,” Tan berkata kepada wartawan. – 20 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen