2 lelaki pecah masuk premis semasa PKP ditahan 


DUA lelaki yang mengambil kesempatan melakukan jenayah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memecah masuk sebuah premis peralatan awal bulan ini, ditahan semalam. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata kejadian membabitkan kehilangan beberapa barangan serta wang tunai RM600 itu disedari oleh pekerja kedai itu pada 3 April apabila membuka premis berkenaan setelah dibenar beroperasi mengikut hari dan masa yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Suspek pertama berumur 24 tahun ditahan sepasukan polis yang menjalankan Op Covid-19, susulan itu lelaki kedua berumur 22 tahun ditahan di tingkat atas sebuah rumah kedai di Seri Iskandar,” katanya dalam kenyataan di Parit hari ini.

Barudin berkata polis menemui beberapa peralatan pecah rumah daripada kedua-dua lelaki terbabit antaranya satu set ‘allen key’, pemutar skru, dua pisau lipat, sebilah parang panjang dan lima gunting. 

“Selain kes pecah masuk premis, kedua-dua suspek juga disyaki terlibat dalam dua kes curi motosikal di Bandar Universiti, Seri Iskandar,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah direman empat hari mulai semalam. – Bernama, 11 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen