Kapal persiaran Australia bawa penumpang positif Covid-19


Kapal Greg Mortimer membawa 217 penumpang dengan lebih 100 orang dijangkiti Covid-19. – Gambar AFP, 11 April, 2020.

SEBUAH kapal persiaran Australia yang terkandas di luar persisiran Uruguay selama dua minggu tiba di pelabuhan Montevideo semalam.

Kapal berkenaan membawa 217 penumpang dengan lebih 100 orang dijangkiti Covid-19.

Kerajaan Uruguay dan Australia bersetuju penumpang dibawa turun dari kapal Greg Mortimer dan disaring sebelum dibawa ke lapangan terbang Montevideo di mana mereka akan menaiki pesawat dilengkapi alat perubatan terus ke Melborne.

Penumpang yang terdiri daripada warga Australia dan New Zealand, termasuk yang diuji negatif dan disahkan positif Covid-19, akan dibawa menaiki bas yang diringi polis terus ke pesawat tanpa perlu masuk ke terminal.

Kesemua mereka berlepas awal hari ini.

Daripada 217 penumpang dan anak kapal, 128 orang disahkan positif Covid-19.

“Penumpang akan duduk mengikut hasil ujian saringan,” kata jurucakap Aurore Expeditions, syarikat memiliki kapal Greg Mortimer.

Kumpulan pelancong itu dalam perjalanan ke Antartika, South Georgua dan Elephant Island, dan lawatan terpaksa dibatalkan susulan Argentina dan Chile menutup sempadan serta melaksanakan perintah berkurung akibat wabak Covid-19.

Kapal berkenaan meneruskan perjalanan ke Montevideo memandangkan ia pelabuhan terdekat yang masih dibuka. Kapal persiaran itu berlabuh di Rio de la Plata sejak 27 Mac.

Sejak itu, lapan penumpang telah dibawa ke hospital di Montevideo kerana sakit.

Kementerian Luar Uruguay semalam berkata tiga rakyat Australia yang dirawat di hospital dibenarkan menaiki pesawat ke Melbourne kerana berada dalam keadaan sihat untuk melakukan perjalanan jauh.

Kerajaan Uruguay beranggapan semua penumpang kapal Greg Mortimer dijangkiti Covid-19, walaupun ada yang diuji negatif. – AFP, 11 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen