Lanjutan kedua PKP, lebih banyak PKS tutup kedai


Ragananthini Vethasalam

Lebih banyak PKS dijangka henti operasi dan berhentikan pekerja susulan PKP bagi membendung penularan Covid-19 dilanjutkan masuk fasa ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

LEBIH banyak pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) dijangka tutup kedai dan memberhentikan pekerja susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menangani Covid-19 dilanjutkan, kata Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang.

Bercakap pada forum atas talian anjuran Research For Social Advancement (Refsa) hari ini, Kang berkata lanjutan PKP melangkaui 14 April akan menyebabkan sebahagian PKS menghentikan operasi dan memulakan pemberhentian pekerja.

Beliau berkata Putrajaya sepatutnya membuat keputusan lebih awal tentang berapa lama penguatkuasaan PKP akan dilaksanakan, bukannya membuat lanjutan secara berperingkat, bagi membolehkan PKS bersiap sedia merancang.

“Hari ini ramai yang berharap untuk mula kembali beroperasi pada 14 April, tetapi sekarang ia dilanjutkan dua minggu lagi,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan PKP dilanjutkan hingga 28 April.

Kang berkata beliau dimaklumkan oleh beberapa PKS mereka tidak boleh memohon lanjutan ketika PKP dilanjutkan ke fasa kedua, kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhenti menerima permohonan.

Persatuan perniagaan itu turut mencari cara untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu, katanya.

Beliau turut menggesa Putrajaya mempercepatkan proses kelulusan permohonan bantuan kewangan yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi, kerana banyak PKS beroperasi dengan wang tunai yang terhad.

Selain itu, beliau berharap kerajaan akan memudahkan proses  permohonan pinjaman mikro.

Kang berkata kaji selidik dilakukan persatuan baru-baru ini mendapati 70% organisasi beroperasi dengan aliran tunai yang terhad.

Beliau juga berharap kerajaan akan membenarkan lebih ramai PKS dalam banyak lagi sektor untuk beropasi secara separa kerana ramai yang menanggung kerugian.

Katanya, bagi sesetengah syarikat, operasi kecil-kecilan akan dapat membantu mereka bertahan, jika berlaku kelewatan dalam pemberian pinjaman. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen