IPD Petaling Jaya terima bantuan kekuatan FRU 


Seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah Petaling Jaya bermula hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

IBU Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan sekatan jalan raya Op Covid-19. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah itu bermula hari ini.

“Kami telah menggunakan kekuatan maksimum melibatkan 930 anggota dan pegawai.

“Pertambahan dua lagi sekatan jalan raya di daerah ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan sekatan, juga memerlukan kami untuk mendapatkan kekuatan tambahan daripada FRU, “ katanya ketika ditemui selepas memeriksa dua sekatan jalan raya tambahan di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara, di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan duty point atau pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di lokasi tertentu di daerah ini.

“Rancangan itu masih di peringkat kajian dari segi kekuatan anggota, logistik dan kawasan yang sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sembilan kompaun telah dikeluarkan bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini semalam.

“Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh termasuk  berkumpul bersama rakan dan menghantar barang selepas pukul 10 malam,” katanya. – Bernama, 10 April, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen