HAKIM mahkamah Chicago pada Khamis menolak permohonan pembebasan atau pemindahan banduan dari penjara yang memuatkan 4,500 tahanan, yang muncul sebagai salah satu kluster koronavirus terbesar di Amerika Syarikat (AS).
Penjara Cook County di bandar ketiga terbesar di AS mempunyai 276 banduan positif Covid-19, bersama-sama 172 kakitangan Pejabat Sherif Cook County, yang menyelia kemudahan itu.
Bagaimanapun, pihak penjara mengakui bilangan sebenar lebih tinggi, kerana majoriti banduannya belum diuji.
Ia menyaksikan satu kematian tahanan setakat ini akibat komplikasi virus, tetapi peguam sudah memfailkan petisyen di mahkamah persekutuan untuk pemindahan.
Dalam keputusan 37 muka surat yang dibacakan pada Khamis, Hakim Daerah Matthew Kennelly mengarahkan Sheriff Cook County Tom Dart melaksanakan polisi baru bagi memastikan tahanan selamat tetapi menolak permintaan agar mereka dipindahkan secara beramai-ramai.
Kennelly mengakui cabaran sherif itu, menyifatkannya sebagai “tugas sukar yang luar biasa”, tetapi mengarahkan sabun dan sanitizer diberi kepada penghuni dan kakitangan, serta topeng muka untuk penghuni dalam kuarantin yang mempunyai gejala Covid-19.
Hakim berkata kadar jangkitan di Cook County adalah 1.56 bagi setiap 1,000 orang dan setakat Isnin, ia adalah 50 bagi setiap 1,000 orang.
Tuntutan itu, yang difailkan pada 3 April, memohon pelepasan beramai-ramai atau pemindahan pesalah warga tua dan mengalami masalah kesihatan.
Dart berkata pihaknya sudah mengambil langkah melindungi penghuni dan kakitangan, pada masa sama turut membebaskan ratusan penghuni yang dikenakan atau disabitkan dengan jenayah tidak membabitkan keganasan.
Dart berkata pihaknya berdepan dilema kerana 70% daripada penghuni disabitkan atau didakwa melakukan jenayah membabitkan keganasan. – AFP, 10 April, 2020.
Komen