Libya siasat dakwaan aktiviti lelong hamba


Timbalan Perdana Menteri Libya, Ahmed Metig berkata kerajaan akan mengarahkan pembentukan suruhanjaya untuk menyiasat laporan aktiviti melelong hamba dan menangkap serta membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. – Gambar EPA, 19 November, 2017.

LIBYA akan menyiasat dakwaan pemerdagangan hamba di negara ini, umum kerajaannya susulan rakaman video yang menunjukkan bagaimana pendatang terbabit dilelong.

Libya sejak sekian lama menjadi pusat transit utama bagi pendatang yang cuba ke Eropah, dan kebanyakan mereka menjadi mangsa penyalahgunaan serius di negara Afrika Utara di tangan para pemerdagangan manusia dan lain-lain.

Minggu lalu, CNN menyiarkan rakaman lelongan yang sedang berlangsung di Libya, di mana seorang lelaki kulit hitam ditunjukkan kepada pembeli Afrika Utara sebagai pekebun berpotensi dan dijual dengan harga AS$400 (RM1,665).

Timbalan Perdana Menteri, Ahmed Metig berkata Government of National Accord (GNA) akan menyiasat dakwaan itu, dalam kenyataan yang disiarkan hari ini di laman Facebooknya.

Metig berkata beliau akan mengarahkan pembentukan “suruhanjaya untuk menyiasat laporan ini dan menangkap serta membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan”, kata kenyataan itu.

Kementerian Luar pula dalam satu kenyataan menambah: “Jika segala dakwaan benar, semua pihak terlibat akan dihukum.”

Laporan CNN yang menunjukkan beberapa pendatang dilelong di Libya dikongsi secara meluas di media sosial, membangkitkan kemarahan di Afrika, Eropah dan seluruh dunia. – AFP, 19 November, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen